Jangan terpengaruh hasutan pembangkang

Jangan terpengaruh hasutan pembangkang

BIAWAK, Sarawak, 10 April (Bernama) – Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Ranum Mina menasihatkan pemilik tanah yang tanah mereka terjejas oleh projek Lebuh Raya Pan Borneo supaya tidak terpengaruh dengan hasutan parti pembangkang.

Menurut Ranum, kerajaan akan membayar pampasan yang sewajarnya ke atas tanah dan segala harta benda yang terjejas oleh projek berkenaan.

Beliau berkata pembangkang hanya menafikan rakyat daripada menikmati pembangunan dan peluang ekonomi yang lebih luas apabila mereka menentang projek yang sangat penting itu.

“Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo sudah pasti akan membolehkan Sarawak dihubungkan dengan rangkaian jalan raya yang lebih baik, di samping membuka lebih banyak aktiviti ekonomi yang sekali gus akan meningkatkan taraf kehidupan rakyat,” katanya pada majlis penangguhan rasmi Fun Ride Berbasikal dan Konvoi Motosikal anjuran Kelab Motosikal dan Berbasikal Lundu di sini, 87 km dari Kuching semalam. Kira-kira 80 pengayuh basikal dan penunggang motosikal termasuk Ranum sendiri mengambil bahagian dalam acara yang bermula dari persimpangan Jalan Lundu-Biawak sehingga Kampung Biawak.

Ranum berkata beliau amat menyokong aktiviti sukan seperti itu bagi menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.