Jankovic buat kejutan

Jankovic buat kejutan

LONDON, 6 Julai (AFP) – Juara bertahan dan pilihan kedua, Petra Kvitova menjadi kejutan terbesar kejohanan tenis Wimbledon semalam apabila ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan ketiga, manakala Roger Federer dan Andy Murray dipaksa berhempas pulas untuk meneruskan kemaraan ke pusingan keempat.

Bintang Republik Czech, Kvitova yang juga juara 2011, tewas 6-3, 5-7, 4-6 kepada pemain veteran Serbia, Jelena Jankovic.

Jankovic, 31, kini menempah pertemuan dengan naib juara 2012, Agnieszka Radwanska untuk mencari slot suku akhir.

Ini adalah kekalahan terpantas Kvitova di All England Club sejak 2009, sekali gus meninggalkan Serena Williams, Maria Sharapova, Caroline Wozniacki dan Lucie Safarova untuk meneruskan aksi minggu kedua.

“Saya tidak tahu apa hendak dikata. Saya sangat teruja. Sangat gembira dan jantung saya masih berdegup kencang,” kata Jankovic.

Kvitova, 25, kini tersingkir dalam semua empat kejohanan Grand Slam terakhir yang disertai sebelum sempat menjejakkan kaki ke suku akhir.

“Ia bukan sesuatu yang bagus tersingkir pada pusingan ketiga. Gagal meneruskan cabaran dalam kejohanan kegemaran saya pada minggu kedua memang menyedihkan,” ujar Kvitova.

Sementara itu, juara tujuh kali dari Switzerland, Federer diheret dalam pertarungan empat set sebelum mengetepikan pemain Australia, Sam Groth 6-4, 6-4, 6-7 (5/7), 6-2.

Pemain berusia 33 tahun itu, yang memburu gelaran Grand Slam ke-18 kini bakal berdepan pilihan ke-20 dari Sepanyol, Roberto Bautista Agut.

Jaguh Scotland dan juara 2013, Murray pula berjaya mengatasi kecederaan bahu sebelum melangkah ke pusingan keempat dengan mencatat kemenangan 6-2, 6-2, 1-6, 6-1 ke atas bintang Itali, Andreas Seppi.

Murray terpaksa memberhentikan permainan untuk mendapatkan rawatan kecederaan bahu kanannya selepas game pertama di set keempat.

Namun, pemain No. 3 dunia itu masih mampu memenangi perlawanan untuk menempah pertemuan dengan Ivo Karlovic pada pusingan keempat.

“Bahu saya dalam keadaan bagus. Pasukan perubatan datang dan memberikan rawatan. Doktor merawat saya dengan baik.

“Pada mulanya, keadaan seperti seseorang dengan berat 90 kilogram berada di atas bahu saya,” kata Murray.

Karlovic, 39, menjadi pemain lelaki tertua melangkah ke pusingan keempat selepas menundukkan pemain Perancis, Jo-Wilfred Tsonga, 7-6 (7/3), 4-6, 7-6 (7/2), 7-6 (11/9).

ARTIKEL YANG SAMA