Januzaj kembali ke Old Trafford

Januzaj kembali ke Old Trafford

DORTMUND, 8 Jan (Reuters) – Pemain sayap Belgium, Adnan Januzaj kembali ke pangkuan Manchester United, hari ini selepas pinjamannya ke Borussia Dortmund selama setahun dipendekkan kepada setengah musim.

Kelab Bundesliga Jerman itu mengesahkan kedua-dua kelab bersetuju dengan “kepulangan segera” dan “butiran terakhir kontrak di antara kedua-dua pihak sedang diselesaikan.”

Januzaj menyertai Dortmund pada penghujung jendela perpindahan musim lalu namun gagal menampilkan aksi yang diharapkan kelab gergasi Jerman itu.

Dia hanya beraksi selama 166 minit sebagai pemain gantian dalam enam perlawanan Bundesliga, hanya melakukan empat cubaan tepat ke gawang dan tidak meledak sebarang jaringan.

Begitupun, pemain berusia 20 tahun itu beraksi penuh dalam dua daripada lima perlawanan Liga Europa bersama kelab itu namun terus gagal menjaringkan sebarang gol.

Di Dortmund, Januzaj terpaksa merebut tempat dengan pemain seperti Henrikh Mkhitaryan, Marco Reus, Ilkay Gundogan, Sven Bender dan Shinji Kagawa di bahagian tengah.

Kehadiran pemain baharu, Julian Weigl yang kian menyinar turut merosakkan peluangnya untuk melakar impak di Westfalenstadion.

Prestasi merudumnya di Jerman mencetus teka-teki mengenai kerjayanya dengan Januzaj sebelum ini dianggap antara pemain muda paling menyinar sejak menyertai skuad utama United pada musim 2013-14.

ARTIKEL YANG SAMA