Jara digantung tiga perlawanan

Jara digantung tiga perlawanan

SANTIAGO, 29 Jun (AFP) – Pertahanan Chile Gonzalo Jara akan terlepas peluang untuk beraksi pada saingan Copa America selepas digantung tiga perlawanan pada Ahad kerana mencetuskan provokasi terhadap pemain Uruguay, Edinson Cavani.

Malah, Jara juga dikatakan berpura-pura cedera apabila Cavani bertindak balas dengan menepis tangannya sehingga terkena muka semasa perlawanan berlangsung.

Persekutuan Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL) dalam satu kenyataan berkata, mereka menggantung Jara kerana berkelakuan seperti ‘tiada semangat kesukanan’. Dia turut didenda sebanyak 4,775 pound.

“Persekutuan Bolasepak Chile telah diberitahu mengenai penggantungan tiga perlawanan untuk Gonzalo Jara oleh jawatankuasa tatatertib CONMEBOL,” kenyataan itu berkata.

“Kami bersedih dengan penggantungan ini tetapi perlu menerimanya,” persekutuan menambah dalam kenyataan di dalam laman web mereka.

Pengadil Sandro Ricci melayangkan kad kuning kepada Edinson Cavani selepas memberikan reaksi terhadap provokasi Gonzalo Jara (18) di Santiago 24 Jun lalu. – Reuters
Pengadil Sandro Ricci melayangkan kad kuning kepada Edinson Cavani selepas memberikan reaksi terhadap provokasi Gonzalo Jara (18) di Santiago 24 Jun lalu. – Reuters

Jara akan terlepas aksi separuh akhir ketika Chile menentang Peru pada Isnin.

Dia juga tidak akan mewakili pada acara pembukaan kempen kelayakan untuk Piala Dunia 2018. Terdahulu, rakaman video menunjukkan Jara menyentuh punggung Cavani.

Tindakan provokasi yang dilakukan Jara pada perlawanan suku akhir Copa America itu, pada Khamis menyaksikan Cavani diarah keluar padang oleh pengadil kerana bertindak balas dengan cara kasar.

Cavani yang juga penyerang utama Uruguay di kejohanan itu diarah keluar padang pada minit ke-63, disebabkan provokasi Jara yang membawa kepada kemenangan 1-0 Chile sekali gus mara ke separuh akhir.

Penyerang Paris Saint Germain itu dilihat menampar muka Jara sejurus punggungnya disentuh, namun pengadil hanya menghukum Cavani dengan memberinya kad kuning kedua.

ARTIKEL YANG SAMA