Jara dikecam

Jara dikecam

SANTIAGO, Chile, 26 Jun (AFP) – Pemain dan jurulatih mengutuk pertahanan Chile, Gonzalo Jara semalam selepas dia kelihatan menusukkan jarinya ke dalam dubur lawan semasa menang suku akhir Copa Amerika ke atas Uruguay.

Walaupun berjaya membawa Chile melayakkan diri ke separuh akhir dalam aksi yang penuh kontroversi semalam, namun Jara mungkin tidak dapat meneruskan saingan gara-gara melakukan tindakan kurang sopan terhadap penyerang Uruguay, Edinson Cavani.

Nasib Jara kekal tidak menentu semalam dengan badan Bola Sepak Antarabangsa Amerika Selatan CONMEBOL berkata mereka hanya akan membuat laporan tatatertib terhadap pemain Chile itu selepas menerima aduan rasmi.

Tetapi pemain dan jurulatih sepakat menyifatkan insiden itu sebagai jijik dan ramai bersimpati dengan Cavani, yang mana bapanya telah ditangkap awal minggu ini kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya yang membawa maut.

“Lebih-lebih lagi apabila orang itu adalah Cavani dan semua masalah lain pada minggu ini, amat memalukan. Sama sekali tidak ada kewajaran untuk Jara. Malah Cavani hampir tidak menyentuhnya,” kata jurulatih Argentina Gerardo Martino.

Perbuatan kurang ajar Gonzalo Jara yang mencetuskan provokasi sehingga menyebabkan Edinson Cavani menerima kad kuning kedua kelmarin. – AFP
Perbuatan kurang ajar Gonzalo Jara yang mencetuskan provokasi sehingga menyebabkan Edinson Cavani menerima kad kuning kedua kelmarin. – AFP

Jurulatih Colombia Jose Pekerman juga mengecam tindakan Jara dengan berkata perbuatan itu telah mencemarkan imej bola sepak di khalayak global.

“Kita semua mahu menang dan ada tekanan ke atas semua orang untuk menang, tetapi pertandingan itu perlu dihormati,” jurulatih veteran Argentina itu berkata.

“Bola sepak adalah sukan yang ditonton seluruh dunia. Terdapat kaedah-kaedah tertentu yang mesti dihormati.”

Jurulatih Uruguay Oscar Tabarez tidak dapat menyembunyikan kemarahan selepas perlawanan semalam selepas menyaksikan pasukannya beraksi dengan Sembilan pemain.

“Anda boleh lihat apa yang berlaku dan apa cabaran itu. Saya merujuk anda kepada televisyen dan gambar. Semuanya ada di sana,” kata Tabarez.

“Saya dapat melihat pengadil tidak melihatnya, tetapi penjaga garisan dapat melihat dari kedudukannya.”

Sementara itu bekas kapten Uruguay Diego Lugano mempunyai amaran untuk Jara dalam mesej di Twitter, dan mengecam pengadil Brazil Sandro Ricci.

“Saya akan bercakap dengan Jara apabila kami bertemu satu sama lain satu hari! Prestasi pengadilan Sandro Ricci benar-benar buruk dan memalukan,” kata bekas pertahanan West Bromwich Albion itu.

Uruguay, yang turun sebagai penyandang juara disingkirkan daripada kejohanan bola sepak Amerika Selatan itu dengan cara yang ‘kejam’ apabila tewas 1-0 selepas terpaksa beraksi dengan sembilan pemain akibat dua layangan kad merah yang diterima.

ARTIKEL YANG SAMA