Jaringan 4-1 bagi 2 perlawanan

Jaringan 4-1 bagi 2 perlawanan

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Saingan Kumpulan F, Piala Presiden Kejohanan Bolasepak Veteran Kebangsaan (KBVK) DST Kali Ke-7, 2016 petang ini menyaksikan IKLS Veteran FC berjaya mengalahkan Mangelella FC dengan jaringan 4-1.

Perlawanan di Kompleks Sukan Menglait itu menyaksikan Mangelella FC yang bermula baik apabila sudah mendahului 1-0 ketika perlawanan baru berlangsung dua minit, menerusi jaringan Awang Shahminan.

Walau bagaimanapun, pada minit ke-18 kedudukan menjadi terikat 1-1 setelah Haji Mahrub bin Haji Murni menemui sasarannya di gawang Mangelella FC.

Pada minit ke-36 menjadi giliran IKLS Veteran FC pula menerajui perlawanan apabila Awang Mohd Sapri bin Haji Salleh meledakkan jaringan peribadi pertamanya, dan enam minit kemudian beliau menggandakan jaringan peribadinya untuk membawa IKLS Veteran FC mendahului 3-1 sehingga rehat.

IKLS Veteran (hitam) berjaya menewaskan Mangellela FC (merah) dengan jaringan 4-1 di Kompleks Sukan Menglait
IKLS Veteran (hitam) berjaya menewaskan Mangellela FC (merah) dengan jaringan 4-1 di Kompleks Sukan Menglait

Separuh masa kedua hanya menyaksikan satu gol dijaringkan, yang dihasilkan oleh Awang Azamain bin Haji Masri pada minit ke-71 untuk IKLS Veteran FC, sekali gus memuktamadkan perlawanan dengan keputusan 4-1.

Dalam satu lagi perlawanan petang ini, yang mengambil tempat di Sekolah Menengah (SM) Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Tutong, BESA FC mencatatkan kemenangan bergaya 4-1 ke atas IV FT dalam aksi Kumpulan C. BESA FC selesa mendahului 4-0 menerusi dua jaringan pada setiap separuh masa, sebelum IV FT mendapat gol sagu hatinya di akhir perlawanan iaitu pada minit ke-86 yang dihasilkan oleh Awang Mazalan bin Haji Abdul Hamid.