Jaringan Barbosa, Marquinhos bantu Brazil benam Jepun

Jaringan Barbosa, Marquinhos bantu Brazil benam Jepun

GOIANIA, Brazil, 31 Julai – Bintang remaja, Gabriel Barbosa menjaringkan gol menarik dengan Neymar kembali memimpin Brazil ketika kemenangan selesa 2-0 ke atas Jepun pada aksi pemanas badan sebelum Sukan Olimpik, malam tadi.

Penyerang Santos berusia 19 tahun yang dikaitkan dengan beberapa kelab Eropah termasuk Juventus, meletakkan Brazil 1-0 di depan pada minit ke-33 apabila berjaya melepasi pertahanan Jepun.

Bintang Barcelona Neymar – terdesak untuk memimpin Brazil mencipta kejayaan di Olimpik Rio de Janeiro selepas kekecewaan Piala Dunia 2014 – memulakan gerakan gol kedua Brazil selepas bola hantarannya ditanduk masuk Marquinhos pada minit ke-41.

Reaksi Neymar (kiri) dan Gabriel Barbosa meraikan jaringan selepas berjaya membolosi gawang gol Jepun semasa perlawanan bola sepak persahabatan menentang Jepun menjelang Sukan Rio Olimpik 2016 di Stadium Dourada Serra di Goiania, semalam. - AFP
Reaksi Neymar (kiri) dan Gabriel Barbosa meraikan jaringan selepas berjaya membolosi gawang gol Jepun semasa perlawanan bola sepak persahabatan menentang Jepun menjelang Sukan Rio Olimpik 2016 di Stadium Dourada Serra di Goiania, semalam. – AFP

Neymar dan Gabriel membentuk jentera serangan yang hebat bersama Gabriel Jesus, penyerang Palmeiras berusia 19 tahun yang dilaporkan hampir menyertai kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester City. Brazil menyasarkan pingat dalam acara bola sepak di Olimpik tahun ini – satu-satunya gelaran yang negara gilakan bola sepak itu masih belum menangi.

Brazil tewas pada perlawanan akhir Sukan Olimpik 2012 kepada Mexico di Wembley.

Juara dunia lima kali itu kemudian mengalami kekecewaan di Piala Dunia 2014, selepas kekalahan memalukan 7-1 kepada Jerman di pusingan separuh akhir.

Brazil akan berdepan Afrika Selatan, Iraq dan Denmark dalam Kumpulan A di Sukan Olimpik tahun ini. Jepun diundi dalam Kumpulan B menentang Nigeria, Colombia dan Sweden. – AFP