Jaringan Cahill benam UAE

Jaringan Cahill benam UAE

ABU DHABI, 7 Sept – Tim Cahill diturunkan dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol dengan sentuhan keduanya ketika Australia mengetepikan Emiriah Arab Bersatu 1-0 dalam kelayakan Piala Dunia 2018 semalam.

Pemain berusia 36 tahun itu yang menggantikan Tomi Juric pada minit ke-71 di Stadium Mohamed bin Zayed di Abu Dhabi, hanya mengambil masa empat minit untuk memastikan kemenangan kedua Australia dalam tempoh lima hari dalam Kumpulan B kelayakan zon Asia.

Jaringan dihasilkan apabila hantaran menarik menyaksikan Brad Smith bebas di sudut kiri dan pemain sayap Borunemouth itu membuat hantaran ke dalam petak penalti dengan Cahill pantas menyudahkannya.

Keputusan tersebut menyusul kemenangan 2-0 ke atas Iraq Khamis lalu dan memberikan pasukan Socceroos Ange Postecoglou asas kukuh untuk kekal dalam laluan bagi satu lagi kemunculan pada Piala Dunia.

Mereka menyamakan kedudukan bersama Arab Saudi di tangga teratas kumpulan dengan enam mata penuh. Pemain veteran yang beraksi lebih 90 minit perlawanan bagi pasukan Australia itu tidak teragak-agak untuk bercakap mengenai dirinya selepas perlawanan.

Cahill meraikan jaringan semasa menentang UAE di stadium Mohammed Zayed di Abu Dhabi kelmarin. – AFP
Cahill meraikan jaringan semasa menentang UAE di stadium Mohammed Zayed di Abu Dhabi kelmarin. – AFP

“Ia sentuhan kedua saya! Yang pertama dari dada saya.

“Saya mahu pasukan untuk merasa takut terhadap saya apabila saya beraksi. Saya mendapatkan penghormatan dalam lebih 10 tahun dan saya akan bekerja keras,” katanya.

“Keputusan ini, setiap kali kami memakai jersi, terlalu bermakna. Saya merasa gembira dengan mata itu kerana ia terlalu bermakna bagi negara kami.”

Perlawanan itu, yang diadakan dalam kehangatan gurun Emiriah, memberikan masa rehat minum kepada pemain dan tempo tidak meningkat sehingga separuh masa kedua.

Usaha Australia dinafikan oleh palang pada awal separuh masa kedua apabila rembatan kencang Aaron Mooy menerusi hantaran Smith untuk menewaskan penjaga gol UAE Khalid Essa melantun terkena tiang gol. – AFP