Jaringan Payet seperti Messi

Jaringan Payet seperti Messi

LONDON, 2 Okt – Pengurus West Ham United, Slaven Bilic membandingkan Dimitri Payet dengan Lionel Messi selepas jaringan menarik pemain Perancis itu memberikan pasukannya keputusan seri 1-1 berdepan Middlesbrough malam tadi.

West Ham ketinggalan menerusi tandukan Cristhian Stuani di Stadium London sebelum Payet menerima bola dari sebelah kiri pada minit ke-57 dan melepaskan diri daripada Antonio Barragan.

Dia melepasi Marten de Roon dalam kotak penalti dan mengelak cabaran Calum Chambers, Ben Gibson dan George Friend sebelum melepaskan sepakan mengatasi penjaga gol, Victor Valdes.

Payet (kiri) ketika beraksi semasa perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris antara West Ham dan Middlesbrough di Stadium London di London, 1 Oktober, 2016. – AP
Payet (kiri) ketika beraksi semasa perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris antara West Ham dan Middlesbrough di Stadium London di London, 1 Oktober, 2016. – AP

“Ia adalah gol yang hebat, gol individu menakjubkan yang membawa kami kembali dalam perlawanan,” kata Bilic, dengan skuadnya tewas empat perlawanan sebelum ini dalam Liga Perdana.

“Saya tidak melihat ramai pemain menjaringkan gol seperti ini. Anda melihat sepakan percuma, anda melihat voli, sepakan gunting, pelbagai jenis gol, tetapi ini seperti gol dijaringkan Messi.

“Ia menakjubkan, saat magis yang menakjubkan. Tetapi kami tidak boleh bergantung kepadanya untuk melakukannya setiap minggu.” – AFP