Jaringan Sanchez selamatkan Arsenal

Jaringan Sanchez selamatkan Arsenal

PARIS, 14 Sept – Penyerang Chile Alexis Sanchez muncul wira Arsenal apabila meledakkan jaringan ketika perlawanan berbaki 12 minit bagi membenarkan The Gunners mengikat Paris Saint-Germain (PSG) 1-1 dalam saingan Liga Juara-Juara, semalam.

PSG mendahului seawal babak pertama perlawanan bermula menerusi tandukan Edinson Cavani di saat ke-42, yang menjadi gol terpantas PSG dalam persaingan Liga Juara-Juara.

Penyerang Chile Sanchez bagaimanapun bangkit untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-77 sebelum kedua-dua pasukan menamatkan saingan dengan 10 pemain selepas Olivier Giroud dan Marco Verratti diarah keluar padang.

Keputusan itu meletakkan Arsenal berada di posisi baik dalam Kumpulan A apabila satu lagi perlawanan menyaksikan Basel dan Ludogorets Razgrad, juga menamatkan saingan dengan keputusan 1-1.

“Kami mempunyai pengalaman dalam Liga Juara-Juara, kami mempunyai daya tahan dan kami mengutip mata yang bagus,” kata pengurus Arsenal, Arsene Wenger.

Alexis Sanchez (kiri) meraikan gol penyamaan ketika menentang PSG dalam aksi Kumpulan A di stadium Parc des Princes, Paris kelmarin. – AFP
Alexis Sanchez (kiri) meraikan gol penyamaan ketika menentang PSG dalam aksi Kumpulan A di stadium Parc des Princes, Paris kelmarin. – AFP

“Apabila anda bermula buruk menentang pasukan yang layak tanpa pengalaman, walaupun dibarisi pasukan muda, anda akan tenggelam. Tetapi kami tidak panik.”

Sementara itu, jurulatih PSG, Unai Emery berkata: “Saya tidak gembira dengan keputusan ini tetapi saya gembira dengan cara kami bermain.

Ini adalah cara yang perlu dimainkan di masa hadapan.”

Wenger memberikan kejutan dalam kesebelasan utama apabila memilih David Ospina mengawal gawang dan meninggalkanpilihan pertama Petr Cech di bangku simpanan.

Sementara itu, Alex Oxlade-Chamberlain dan Alex Iwobi kedua-dua bermula dengan Theo Walcott pula hilang akibat kecederaan.

Emery yang berada di bawah tekanan selepas permulaan buruk musim ini, membuat beberapa perubahan kepada pasukannya termasuk memanggil Serge Aurier untuk pertahanan, dan pemain Ivory Coast itu adalah sumber kepada gol pembukaan.

Dengan pertahanan Arsenal yang belum mantap, Aurier meluru ke hadapan dari kanan dan memberikan hantaran yang ditanduk Cavani dekat tiang gol sudah cukup untuk mengalahkan Ospina dan menggegar jaring. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA