Jaringan Shaqiri tidak memadai

Jaringan Shaqiri tidak memadai

SAINT-ETIENNE, 26 Jun (AP) – Jaringan cantik Xherdan Shaqiri menerusi satu sepakan akrobatik jelas belum cukup untuk membawa Switzerland ke pusingan suku akhir Euro 2016.

Penyerang Switzerland itu meledak gol pada minit ke-82 untuk menyamakan kedudukan 1-1, tetapi Poland mengesahkan kemenangan 5-4 menerusi penentuan penalti sekali gus mara ke suku akhir Kejohanan Eropah.

“Ia satu jaringan yang cantik, tetapi kesudahannya kami tersingkir,” kata Shaqiri, pemain tengah berusia 24 tahun yang dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan.

“Ia sangat mengecewakan. Kami sepatutnya meraih sesuatu yang sangat hebat. Kami memiliki beberapa peluang.”

Sementara itu, jurulatih Switzerland, Vladimir Petkovic turut memuji jaringan yang dilakukan Shaqiri namun mengakui kesilapan yang dilakukan pasukannya menyebabkan mereka tersingkir.

Xherdan Shaqiri ketika menjaringkan gol melalui sepakan akrobatik tersebut. – AP
Xherdan Shaqiri ketika menjaringkan gol melalui sepakan akrobatik tersebut. – AP

UEFA-Euro-2016-Logo

“(Jaringan Shaqiri) adalah hasil keyakinan dan kepercayaan, kerana anda perlu yakin apabila berdepan dengan situasi bola seperti itu,” kata Petkovic. “Anda juga perlu mengharapkan nasib, malangnya, kami tidak dapat mara.

“Pemain saya sudah melakukan segala-galanya dan menunjukkan apa yang mereka boleh lakukan di atas padang, tetapi kami membuat kesilapan.”

Switzerland juga mempunyai peluang terbaik untuk menjaringkan gol pada penghujung masa tambahan, tetapi tandukan jarak dekat pemain gantian Eren Derdiyok diselamatkan penjaga gol Lukasz Fabianski.