Jaringan Yedder lonjak Sevilla

Jaringan Yedder lonjak Sevilla

MADRID, 2 Okt – Wissam Ben Yedder (gambar) meledak jaringan kemenangan menerusi kuisan belakang tatkala Sevilla mengambil alih kedudukan pendahulu bersama La Liga hasil kemenangan 2-1 ke atas Alaves yang menyaksikan empat pemain dan pengadil tercedera.

Taktikal Alaves yang bermain secara bertahan akhirnya memakan diri apabila kuisan belakang pemain gantian Sevilla, Ganso menemui Ben Yedder yang merembat rendah untuk jaringan pembukaan pada minit ke-17.

Bagaimanapun, selepas pengadil Mateu Lahoz menyertai senarai kecederaan susulan masalah kekejangan betis, Victor Languardia kembali menyamakan kedudukan buat Alaves hasil sepakan sudut rakan sepasukannya. Ben Yedder sekali lagi muncul wira pasukan, selepas turut menyumbat jaringan kemenangan sewaktu menentang Lyon dalam aksi Liga Juara-Juara, tatkala dia menguis baik bola hantaran lintang Vitolo pada masa kecederaan babak kedua.

Kemenangan itu membolehkan Sevilla mengatasi Atletico Madrid dan Barcelona ke kedudukan kedua liga di belakang Real Madrid berdasarkan kelebihan gol.

Real menjadi tuan rumah kepada Eibar, awal pagi esok, dengan Atletico dan Barca masing-masing berkunjung ke Valencia dan Celta Vigo. – AFP