Jasa 146 pesara dihargai

Jasa 146 pesara dihargai

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mac – Seramai 146 orang pesara, terdiri daripada 106 pesara lelaki dan 40 pesara wanita, dari Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya, hari ini, telah diraikan dalam Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan bagi Pegawai dan Kakitangan yang bersara pada 1 Oktober 2014 hingga 31 Disember 2015.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan pada majlis yang berlangsung di Dewan Indera Pahlawan, Pusat Ujian Kemahiran Kerja dan Latihan (MODTC), Kementerian Pembangunan ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin bin Abdullah.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar, Pemangku Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Haji Marzuke bin Haji Mohsin, ketua-ketua jabatan, divisyen dan unit di Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya serta ahli-ahli jawatankuasa majlis.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin bergambar ramai dengan pesara Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin bergambar ramai dengan pesara Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Pemangku Pengarah Pentadbiran dan Kewangan di Kementerian Pembangunan, Pengiran Kamis bin Pengiran Metamin ketika menyampaikan ucapan alu-aluan selaku pengerusi majlis antara lain menekankan bahawa persaraan bukanlah menjadi halangan dalam meneruskan khidmat bakti dan sumbangan terhadap agama, bangsa dan negara.

Menurutnya, para pesara bolehlah menggunakan masa persaraan dengan perkara-perkara yang berfaedah seperti berkecimpung dalam dunia perniagaan, meneruskan pekerjaan di sektor swasta yang bersesuaian dengan kemahiran dan pengalaman masing-masing, bergiat aktif dalam badan-badan sukarelawan atau badan-badan bukan kerajaan serta melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan, sosial dan keagamaan.

Kementerian Pembangunan dalam kenyataannya menyatakan bahawa majlis penyampaian sijil penghargaan ini merupakan satu penghargaan atas segala bakti dan pengorbanan yang disumbangkan oleh para pesara sepanjang berkhidmat dengan kerajaan.

ARTIKEL YANG SAMA