Jasa 185 pesara JPM dihargai

Jasa 185 pesara JPM dihargai

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 April – Persaraan mengingatkan kita kepada realiti kehidupan bahawa kita telah banyak menyumbang bakti dan menabur budi serta telah turut berjuang dalam membangun dan melakar sejarah bangsa dan membantu organisasi di mana kita sempat bertugas bagi membangun negara, di samping mencari rezeki halal.

Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Awang Yahya bin Haji Idris menambah, bersara juga merupakan satu lagi batu tanda kehidupan atau lembaran hidup setiap individu di mana betapa usia kita semakin hampir kepada garisan penamat yang sudah ditentukan oleh Allah S.W.T.

“Dalam mempersiapkan diri mengharungi alam persaraan, peramba saya percaya para pesara telah pun mempunyai perancangan dan persediaan dalam menjalani alam yang baru kerana bak kata-kata Inggeris ‘there is still more life beyond retirement’,” ujarnya semasa menyampaikan ucapan selaku Pengerusi Majlis Penyampaian Sijil Persaraan kepada Pesara JPM dan Jabatan-jabatan di bawahnya yang telah bersara pada tahun 2014 dan 2015 di Dewan Bankuet, Bangunan JPM, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Mohamad Roselan bin Haji Mohamad Daud.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri di JPM, Dato Paduka Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar.

Tetamu kehormat menyampaikan sijil persaraan dan cenderahati kepada seorang penerima.
Tetamu kehormat menyampaikan sijil persaraan dan cenderahati kepada seorang penerima.
Ucapan penghargaan yang disampaikan oleh Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri.
Ucapan penghargaan yang disampaikan oleh Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri.
Bergambar ramai bersama warga JPM.
Bergambar ramai bersama warga JPM.

Katanya lagi, inilah juga masanya bagi para pesara melaksanakan keinginan dan impian yang masih belum terlaksana, dengan segala pengetahuan dan pengalaman yang dimiliki semasa berkhidmat, beliau berharap dan berdoa para pesara akan dapat menjalani kehidupan baru ini dengan jayanya.

“Pada hakikatnya abiskita hanyalah bersara dari perkhidmatan awam, tetapi masih amat diperlukan bagi terus memberikan khidmat bakti kepada masyarakat dan negara,” jelasnya lagi.

Beliau seterusnya berkata, bagi yang masih berkhidmat, teruskan usaha dan iltizam untuk terus mempertingkatkan prestasi dan kualiti tugas dengan penuh tanggungjawab, amanah, jujur dan cekap.

Menurutnya, para pesara yang diraikan petang tadi boleh menjadi model peranan dan contoh terbaik kepada usaha menanai tanggungjawab demi agama, raja dan negara.

Semangat dan nilai-nilai kesungguhan tersebut, ujarnya lagi, amat penting kepada JPM dalam suasana menerajui langkah-langkah dan tindakan mencapai matlamat Wawasan 2035.

Majlis berkenaan menyaksikan penyampaian sijil dan cenderahati kepada seramai 185 orang pesara disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

Majlis diadakan sebagai tanda penghargaan kepada pegawai-pegawai dan kakitangan yang telah memberikan masa, tenaga dan perkhidmatan selama menjalankan tugas dalam perkhidmatan awam, khususnya di JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya, selaras dengan tema majlis ‘Jasa Bakti Biskita Dikenang’.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, dan para pegawai serta kakitangan di JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.

ARTIKEL YANG SAMA