Jasa atlet dihargai

Jasa atlet dihargai

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mei – Segala pengorbanan dan kejayaan para atlet yang mengharumkan nama negara di arena sukan serantau dan antarabangsa amat dihargai dan Skim Penggalak Kecemerlangan Sukan (SPKS) merupakan sebagai tanda penghargaan kepada para atlet dan juga jurulatih di atas kejayaan mereka itu.

Di samping itu, ia juga sebagai satu penghargaan negara kepada kejayaan para atlet yang telah mengharumkan nama negara dengan memperoleh pingat dalam sukan serantau dan antarabangsa seperti yang terkandung dalam dasar sukan negara.

Perkara itu dijelaskan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dato Paduka Dr Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin ketika berucap di Majlis Penganugerahan Ganjaran Kemenangan SPKS, hari ini.

Hadir untuk menyampaikan anugerah berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah di majlis yang berlangsung di Bilik Hijau, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman, para pegawai kanan, pegawai dan kakitangan KKBS serta atlet-atlet dan jurulatih yang diraikan pada majlis tersebut.

Yang Berhormat Pehin menyampaikan anugerah kepada para penerima yang diraikan.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan anugerah kepada para penerima yang diraikan.
Dato Paduka Dr Haji Affendy menyampaikan kata alu-aluan pada majlis berkenaan.
Dato Paduka Dr Haji Affendy menyampaikan kata alu-aluan pada majlis berkenaan.
Yang Berhormat Pehin bergambar ramai bersama para atlet dan jurulatih yang diraikan.
Yang Berhormat Pehin bergambar ramai bersama para atlet dan jurulatih yang diraikan.

Pada majlis berkenaan, seramai 12 atlet, empat jurulatih, seorang penolong jurulatih dan dua persatuan sukan kebangsaan telah menerima Ganjaran SPKS.

Para penerima berkenaan ialah atlet yang berjaya untuk meraih pingat dalam Sukan Para Asia ke-2 di Incheon, Korea, Sukan Pantai Asia ke-4 di Phuket, Thailand dan Kejohanan Petanque Pan Pasifik VIII di Clark, Filipina yang berjumlah keseluruhan sebanyak $71,100.

Majlis itu dihasratkan untuk memberikan galakan kepada para atlet bagi mencapai satu-satu tahap kejayaan dalam menjalani latihan secara bersungguh-sungguh supaya dapat mengekalkan dan mencapai prestasi yang lebih tinggi di sukan serantau dan antarabangsa.

Para atlet yang diraikan menerima ganjaran berupa wang tunai sebagai penghargaan kepada mereka yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam bidang sukan masing-masing di peringkat serantau dan antarabangsa.

Skim ganjaran berkenaan juga diberikan kepada jurulatih-jurulatih sukan kerana penglibatan mereka dalam perkembangan dan kemajuan dalam latihan.

ARTIKEL YANG SAMA