Jasa & bakti tentera terus diingati

Jasa & bakti tentera terus diingati

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 April – Negara Brunei Darussalam dan Australia mempunyai hubungan persahabatan dan kerjasama yang erat dalam pelbagai bidang termasuk bidang pertahanan yang sudah terjalin sekian lama.

Hubungan pertahanan itu sudah terjalin sejak pendaratan tentera Australia 9th Division di Pantai Muara pada Ahad, 10 Jun 1945 sebagai salah satu operasi penting untuk mendapatkan kembali Kepulauan Borneo dan menamatkan pendudukan Jepun di Brunei semasa Perang Dunia Kedua.

Di samping itu, ratusan ribu tentera Australia dan New Zealand (NZ) telah menunjukkan keberanian mereka dalam pelbagai konflik demi mempertahankan kebebasan serta memastikan rakyat kedua-dua buah negara terus menikmati kehidupan yang aman di abad ke-21.

Oleh itu, pengorbanan dan keberanian lelaki dan wanita yang bergelar anggota tentera Australia dan New Zealand terus diingat dan dihormati dengan rakyat dan penduduk kedua-dua buah negara memperingati pengorbanan mereka itu pada Hari ANZAC yang diraikan di seluruh dunia.

TYT Todd Mercer, TYT Dr. John Subritzky dan Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih serta pegawai-pegawai kanan ABDB dan tentera Australia bergambar ramai selepas majlis Hari ANZAC.
TYT Todd Mercer, TYT Dr. John Subritzky dan Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih serta pegawai-pegawai kanan ABDB dan tentera Australia bergambar ramai selepas majlis Hari ANZAC.
Antara tetamu yang hadir pada majlis hari itu.
Antara tetamu yang hadir pada majlis hari itu.
Para jemputan melihat dengan lebih dekat gambar-gambar kenangan yang dipamerkan.
Para jemputan melihat dengan lebih dekat gambar-gambar kenangan yang dipamerkan.

Perkara itu dijelaskan oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Todd Mercer semasa berucap pada Majlis Memperingati Hari ANZAC yang diadakan di Tugu Peringatan Brunei-Australia, Pantai Muara, hari ini.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Negara Brunei Darussalam dan Malaysia, Tuan Yang Terutama Dr. John Subritzky; Duta Turki ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Fikret Oguz Ates; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah, perwakilan-perwakilan dari negara-negara sahabat, para pegawai kanan kerajaan, jemputan lainnya dan rakyat Australia dan New Zealand yang menetap di Negara Brunei Darussalam.

TYT Todd Mercer menambah bahawa majlis itu merupakan hari untuk memperingati jasa dan bakti tentera-tentera Australia dan NZ yang berkhidmat serta gugur di medan peperangan di seluruh dunia.

Majlis seterusnya menyaksikan bacaan puisi bertajuk ‘In Flanders Fields’ oleh TYT Dr. John Subritzky dan TYT Fikret Oguz Ates membacakan kata-kata pengasas Turki Moden, Presiden Mustafa Kemal Ataturk yang kini diukir di Tugu Peringatan, Ari Burnu, Gallipoli, Turki.

Majlis kemudian menyaksikan TYT Todd Mercer, TYT Dr. John Subritzky dan TYT Fikret Oguz Ates meletakkan jambangan bunga sebagai tanda penghormatan dan memperingati jasa di tugu peringatan itu.

Majlis peringatan itu juga menyaksikan bendera negara Australia dan New Zealand dikibarkan di kawasan tugu itu bagi memperingati jasa-jasa tentera Australia dan New Zealand yang telah dan terus berjuang serta berkhidmat di seluruh dunia.

ARTIKEL YANG SAMA