Jasa bekas pengerusi dihargai

Jasa bekas pengerusi dihargai

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jun – Bekas-bekas pengerusi Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH telah diraikan pada Majlis Makan Malam dan Penghargaan bagi menghargai jasa dan mengiktiraf bakti yang telah mereka sumbangkan kepada pusat berkenaan.

Majlis yang diadakan di Hotel Antarabangsa Rizqun itu sempena ulang tahun ke-25 pusat dan juga persidangan antarabangsa pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) yang bertema ‘Memastikan Impak Lebih Besar TVET untuk Pembangunan Mapan’.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Juga hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, setiausaha-setiausaha tetap dan juga bekas-bekas pengerusi Lembaga Pentadbir SEAMEO VOCTECH yang diraikan.

Pengarah Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH, Haji Mohd Sharifuddin bin Haji Mohd Salleh, dalam ucapan alu-aluannya turut mengatakan bahawa SEAMEO VOCTECH telah mempelbagaikan bidang tumpuan strategiknya selaras dengan keperluan dan permintaan pelanggan, dalam usaha untuk mendapatkan pengiktirafan global dan memelihara pembangunan yang boleh dipercayai dan mampan.

Pada majlis itu juga, Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi turut menyampaikan cenderahati kepada bekas-bekas pengerusi Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH.

Acara itu turut diserikan dengan ucapan daripada pengerusi pertama Lembaga Pentadbir SEAMEO VOCTECH, Dato Paduka Haji Abdul Razak bin Haji Muhammad yang telah mengongsikan pengalaman dan pandangan beliau semasa penubuhan pusat tersebut.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi (lima, kanan) bergambar ramai bersama bekas-bekas Pengerusi Lembaga Pentadbir SEAMEO VOCTECH.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi (lima, kanan) bergambar ramai bersama bekas-bekas Pengerusi Lembaga Pentadbir SEAMEO VOCTECH.

 

ARTIKEL YANG SAMA