Jasa, pengorbanan guru dihargai

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Dis – Jasa dan khidmat bakti yang diberikan oleh guru-guru dalam memberikan pendidikan dan pembelajaran kepada para pelajar telah diraikan dalam Majlis Penghargaan Sekolah Ugama Pengiran Muda Abdul Azim (SUPMAA) Serasa yang berlangsung di Dewan Mangrove Paradise Resort, baru-baru ini.

Majlis tersebut diadakan adalah sebagai memberi penghargaan kepada guru-guru dalam mendidik para pelajar dan juga penglibatan mereka dalam kegiatan pembangunan dan perkembangan staf sekolah berkenaan.

Majlis berkenaan turut diselajurkan dengan majlis pengumuman dan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang dalam pertandingan yang dianjurkan oleh bahagian pentadbiran sekolah berkenaan iaitu bagi Pertandingan Reka Bentuk Risalah Terbaik bagi Sesi Pagi dan Petang serta Pertandingan Kelasku Sayang.

Dayang Norliyani menyampaikan hadiah dan anugerah kepada salah seorang guru yang diraikan di Majlis Penghargaan SUPMAA 2017.
Dayang Noliyani bergambar ramai bersama guru-guru SUPMAA di majlis penghargaan tersebut.

Majlis juga turut menyaksikan penyampaian pelbagai anugerah termasuk Anugerah Bacaan Muratal Terbaik bagi Sesi Pagi dan Petang, Anugerah Komitmen Muratal Terbaik bagi Sesi Pagi dan Petang, Anugerah Penyampai Tazkirah PKS Terbaik bagi Sesi Pagi dan Petang serta Anugerah Komitmen Amali Agama Terbaik bagi Sesi Pagi dan Petang.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian sijil-sijil penyertaan guru-guru dalam kegiatan dan acara perkembangan sekolah sepanjang 2017.

Majlis penghargaan yang dianjurkan oleh Guru Besar sekolah berkenaan, Dayang Norliyani binti Haji Ahmad dan guru-guru Bahagian Pentadbiran itu bermatlamat untuk menyuntik semangat semua guru-guru supaya akan terus menaikkan lagi prestasi masing-masing pada tahun 2018 bagi meningkatkan lagi prestasi yang lebih cemerlang daripada tahun sebelumnya.