Jasa warga emas dihargai

Jasa warga emas dihargai

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 8 Nov – Bagi mengenang jasa dan memberi penghormatan kepada warga emas di Mukim Telisai, seramai 21 orang yang berusia lebih 80 tahun ke atas diraikan dalam Majlis Sambutan Perhimpunan Warga Emas Sempena Hari Antarabangsa Warga Emas 2015 di Dewan Kemasyarakatan Bukit Beruang, Tutong, pagi tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis anjuran Majlis Perundingan Mukim Telisai itu ialah Setiausaha Tetap (Hiliran & Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Jamain bin Haji Julaihi.

Ketua Kampung Bukit Beruang, Awang Ahmad bin Aman semasa dalam ucapan alu-aluannya berkata, sambutan itu adalah kali kedua ia diadakan dengan perhimpunan warga emas pertama diadakan pada tahun 2012.

Jelasnya lagi, antara tujuan perhimpunan ini adalah bagi menyuntik semangat dan pemedulian ke atas warga emas dengan menunjukkan penghargaan dan mengenang jasa-jasa mereka.

Dato Paduka Haji Jamain ketika menabur bunga rampai dan menyampaikan sumbangan kepada salah seorang warga emas.
Dato Paduka Haji Jamain ketika menabur bunga rampai dan menyampaikan sumbangan kepada salah seorang warga emas.
Awang Ahmad menasihati generasi baru agar tidak mensia-siakan hidup dan mengutamakan pendidikan.
Awang Ahmad menasihati generasi baru agar tidak mensia-siakan hidup dan mengutamakan pendidikan.
Antara warga emas yang hadir pada Majlis Sambutan Perhimpunan Warga Emas di Dewan Kemasyarakatan Bukit Beruang, Tutong.
Antara warga emas yang hadir pada Majlis Sambutan Perhimpunan Warga Emas di Dewan Kemasyarakatan Bukit Beruang, Tutong.

Selain itu, katanya, ia juga salah satu cara untuk mereka bersemuka dan berinteraksi dengan mereka yang seangkatan usianya selain dapat berkongsi pengalaman hidup mereka untuk dijadikan contoh dan pengajaran.

Awang Ahmad dalam ucapannya turut menasihati generasi baru agar mereka tidak mensia-siakan hidup dan perlu mementingkan pendidikan dalam kehidupan sebagai membalas jasa baik ibu bapa dan penjaga mereka.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan persembahan nyanyian khusus bagi warga emas oleh Kumpulan Akustik Majlis Perundingan Mukim Telisai dan diikuti dengan Dikir Marhaban yang diselajurkan dengan menabur bunga rampai dan penyampaian sumbangan kepada warga emas oleh tetamu kehormat.

ARTIKEL YANG SAMA