Jasa warga RIPAS dihargai

Jasa warga RIPAS dihargai

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Hakim Hayat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Mei – Pembinaan Pusat Perempuan dan Kanak-kanak merupakan projek mega infrastruktur terbesar yang pernah diungkayahkan oleh Kementerian Kesihatan, dan satu pencapaian yang sangat signifikan yang akan dikenang dan menjadi ristaan sejarah.

Dengan itu, pihak pengurusan dan pentadbiran Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), hari ini, telah menganjurkan Majlis Penghargaan Sempena Perasmian Pusat Perempuan dan Kanak-kanak dan Sambutan 30 Tahun Hospital RIPAS yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof.

Majlis ini diadakan sebagai tanda penghargaan atas sokongan dan sumbangan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis perasmian pusat berkenaan yang telah berjalan dengan lancar dan jayanya pada 22 April 2015.

Pengerusi Majlis, Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan, Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif, semasa menyentuh mengenai Sambutan Ulang Tahun ke-30 Hospital RIPAS, dalam ucapannya berkata, ia bukan saja untuk merenung kembali pencapaian hospital berkenaan tetapi juga untuk mengenang orang-orang yang telah menggerakkannya.

Yang Berhormat Pehin Haji Adanan menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang kakitangan RIPAS.
Yang Berhormat Pehin Dato Seri Setia Haji Adanan menyampaikan cenderahati kepada Dato Paduka Haji Idris bin Haji Abas
Dr Haji Zulaidi ketika menyampaikan ucapan di majlis itu kelmarin.
Dr Haji Zulaidi ketika menyampaikan ucapan di majlis itu kelmarin.

Oleh itu, seramai 202 pegawai dan kakitangan yang dikenal pasti telah berkhidmat genap 30 tahun semenjak 1984 diberikan sijil penghargaan yang ditandatangani oleh Menteri Kesihatan dan cenderahati serta buku Lakaran Gemilang, ujarnya.

Penyampaian sijil, cenderahati dan buku berkenaan telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Adanan, di majlis berkenaan.

Di samping itu, agensi-agensi kerajaan, para penaja yang terlibat dalam menjayakan pembinaan pusat berkenaan juga menerima sijil penghargaan dan cenderahati daripada Kementerian kesihatan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin.

Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian derma hasil kutipan daripada karnival amal dan ekspedisi amal yang diadakan, baru-baru ini, sempena ulang tahun Hospital RIPAS. Ia bertujuan untuk menambah tabung amal bantuan pesakit dan dana Hospital RIPAS.

ARTIKEL YANG SAMA