Jasamu tetap dihargai

Jasamu tetap dihargai

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 April – Bagi menghargai sumbangan-sumbangan dan nasihat yang telah diberikan oleh Tuan Yang Terutama Dato Seri Setia Haji Yusoff bin Haji Ismail selaku Penasihat Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sengkurong ‘B’, dan isteri-nya, Datin Hajah Samsiah binti Haji Abdul Rahman selaku Penasihat Perkumpulan Wanita MPK berkenaan dalam membantu MPK tersebut, Majlis Penghargaan telah diadakan di Dewan Kemasyarakatan Mukim Sengkurong, semalam.

Majlis berkenaan telah dikendalikan bersama oleh ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung Sengkurong ‘B’ dan Perkumpulan Wanita Majlis Perundingan Kampung Sengkurong ‘B’.

Penghulu Mukim Sengkurong, Haji Musa bin Haji Tahir selaku Pengerusi Majlis dalam ucapan penghargaannya antara lain mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah atas pengurniaan Watikah Pelantikan kepada Tuan Yang Terutama menjadi Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Arab Saudi pada 23 Mac yang lalu.

Menurut beliau, Tuan Yang Terutama telah dilantik menjadi Penasihat MPK Sengkurong ‘B’ sejak tahun 2006.

“Beliau telah banyak membantu MPK Sengkurong ‘B’ dalam mengungkayahkan aktiviti yang dibuat atau dirancang oleh MPK Sengkurong ‘B’ dalam menjana/menjurus kepada kesejahteraan penduduk kampung dan aktiviti yang dibuat iaitu aktiviti berkala dan bermusim.”

TYT Dato Seri Setia Haji Yusoff ketika menerima cenderahati.
TYT Dato Seri Setia Haji Yusoff ketika menerima cenderahati.
Datin Hajah Samsiah ketika menerima cenderahati.
Datin Hajah Samsiah ketika menerima cenderahati.

Tidak ketinggalan juga ucapan penghargaan ditujukan kepada isteri Tuan Yang Terutama, Datin Hajah Samsiah, yang mana beliau telah dilantik sebagai Penasihat Perkumpulan Wanita MPK Sengkurong ‘B’ sejak penubuhan kumpulan tersebut pada 11 Disember 2009.

Majlis diteruskan lagi dengan penyampaian cenderahati sebagai tanda penghargaan kepada TYT dan juga isterinya sebelum para tetamu yang hadir menikmati jamuan malam yang telah disediakan.

Antara lain tujuan majlis berkenaan diadakan ialah bagi mengeratkan tali silaturahim antara MPK dan Perkumpulan Wanita MPK Sengkurong ‘B’.

ARTIKEL YANG SAMA