Jasamu tetap dikenang

Jasamu tetap dikenang

Oleh Pehin Kolonel (B) Dato Abdul Jalil Haji Ahmad

BANDAR SERI BEGAWAN – Baru-baru ini Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) telah pun mengadakan majlis makan malam bagi meraikan bekas pegawai-pegawai dan ahli-ahli angkatan TLDB yang telah bersara.

Majlis Malam Jasamu Dikenang ini diadakan sempena penubuhan ulang tahun TLDB ke-50 tahun di mana pada 50 tahun yang lalu TLDB hanya dikenali sebagai Bot Seksyen, Askar Melayu Diraja Brunei (Boat Section, Royal Brunei Malay Regiment).

Tetamu kehormat pada malam tersebut ialah Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Ba’asith bin Pengiran Datu Penghulu Pengiran Haji Apong dan beberapa orang pegawai kanan yang pada suatu masa dulu pernah berkhidmat dengan TLDB.

Saya teringat pula pada satu ketika dahulu iaitu pada tahun 1965 hingga 1966, Kapten Awangku Ibnu bin Pengiran Haji Apong pernah bertugas sebagai Pegawai Memerintah Bot Seksyen di mana di sinilah mulanya titik tolak sejarah penubuhan TLDB.

Kapten Awangku Ibnu merupakan seorang anak tempatan pertama yang menyandang jawatan selaku Pegawai Memerintah Bot Seksyen, Askar Melayu Diraja Brunei. Pada pertengahan tahun 1966 Kapten Awangku Ibnu telah berjaya membawa tiga buah Kapal Armed Motor Launch (AML) iaitu KDB Bendahara, KDB Kermaindera dan KDB Maharajalela belayar dari Singapura menuju ke Muara, Brunei.

(Dari kiri) FAdm (B) Dato Halim, FAdm (B) Dato Aziz, Lt. Kol (B) Mohd Shahri, Yang Berhormat Pehin Kolonel (B) Dato (Dr) Haji Mohd Yasmin, Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Hj Ibnu Ba’asith, YDM Pehin Kolonel (B) Dato Hj Kefli, FAdm Pg Dato Norazmi, Yang Dimuliakan Pehin Kolonel (B) Dato Abdul Jalil dan Lt. Kol (B) Haji Ismail.
(Dari kiri) FAdm (B) Dato Halim, FAdm (B) Dato Aziz, Lt. Kol (B) Mohd Shahri, Yang Berhormat Pehin Kolonel (B) Dato (Dr) Haji Mohd Yasmin, Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Hj Ibnu Ba’asith, YDM Pehin Kolonel (B) Dato Hj Kefli, FAdm Pg Dato Norazmi, Yang Dimuliakan Pehin Kolonel (B) Dato Abdul Jalil dan Lt. Kol (B) Haji Ismail.
Kapten Awangku Ibnu (1966).
Kapten Awangku Ibnu (1966).

Di dalam pelayaran semasa menuju Kuching, kapal-kapal tersebut telah membuat kerja-kerja mengisi minyak di laut. Dalam proses ini salah seorang daripada Jurutera iaitu Koperal Zainal (Allahyarham) telah jatuh ke dalam laut.

Bagaimanapun atas kecekapan pegawai dan anak-anak buah kapal ketika itu maka Koperal Zainal, Alhamdulillah, dapatlah diselamatkan.

Saya merasa bangga dan memberi tabik hormat kepada mereka ini kerana kapal-kapal yang dianggap kecil yang hanya berukuran 45 kaki dan diperbuat daripada kayu itu berjaya mengharungi Laut China Selatan dan merapat di Pangkalan Lama di Muara dengan selamatnya.

Kapten Mohd Yasmin bin Haji Umar (kini Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr) Haji Mohd Yasmin bin Haji Umar) pernah bertugas di TLDB pada tahun 1985 di mana beliau menjawat jawatan Weapon Engineering Officer (Pegawai Kejuruteraan Senjata), iaitu satu-satunya jawatan penting dalam Tentera Laut. Jawatan tersebut sebelumnya dijawat oleh pegawai pinjaman British.

Setelah dinaikkan ke pangkat Mejar, beliau telah dilantik sebagai Pegawai Kejuruteraan Kanan (Senior Engineering Officer) iaitu pegawai tempatan yang pertama menjawat jawatan itu. Saya turut merasa gembira dan bangga kerana jawatan tersebut yang sebelumnya diisi oleh askar pinjaman British, telah pun diambil alih oleh anak-anak tempatan kita.

Kapten Kefli bin Razali (kini Yang Dimuliakan Pehin Datu Juragan Laila Diraja Kolonel (B) Dato Seri Pahlawan Haji Kefli bin Orang Kaya Laila Setia Haji Razali) adalah salah seorang pegawai tempatan yang terkanan dalam Angkatan Laut Pertama.

Pada tahun 1972, beliau adalah Pegawai Pemerintah KDB Saleha, iaitu sebuah kapal peronda pantai.

Ketika itu tidak dinafikan iaitu di dalam bidang ketenteraan laut, sebagai anak tempatan mempunyai serba kekurangan di mana lapangan ini adalah perkara yang asing dan baru, bukan saja bagi kami bahkan bagi negara kita.

Dalam hal ini kami dibantu oleh pegawai-pegawai pinjaman dari Tentera Laut Diraja British. Saya kira Kapten Kefli telah berjaya memainkan peranannya dengan baik dalam mencurahkan khidmat dan nasihat kepada pegawai-pegawai pinjaman British di samping membimbing pegawai-pegawai dan anggota-anggota tempatan.

Ini memerlukan mutu kepimpinan yang tinggi dan saya merasa bangga yang Kapten Kefli telah berjaya memimpin pegawai-pegawai dan anak-anak buah tempatan kita ke sasaran hala tuju yang dihasratkan.

Terima kasih diucapkan kepada Kapten Kefli yang mana telah banyak menegur, menasihati dan membimbing semua peringkat di Angkatan Laut Pertama ini. Pada tahun 1974 hanya enam orang pegawai tempatan saja yang berkhidmat dengan Angkatan Laut Pertama iaitu Mejar Kefli, Kapten Mohd Noeh (Allahyarham), Kapten Mohammad Shahri, Leftenan Abdul Latif (Allahyarham), Leftenan Ismail dan Leftenan Muda Abdul Jalil.

Apa pun yang terjadi dalam Angkatan Laut Pertama ini, mereka inilah yang bertanggungjawab menggariskan hala tuju bagi ‘First Flotilla, Royal Brunei Malay Regiment.’

Kapten Mohammad Shahri (kini Leftenan Kolonel (B) Haji Mohammad Shahri bin Haji Mohd Ali) telah dilantik sebagai Pegawai Pemerintah Tentera Laut ABDB pada 30 Disember 1988 hingga 1 November 1991.  Sementara Leftenan Ismail (kini Leftenan Kolonel (B) Haji Ismail bin Haji Sarbini) adalah pegawai tempatan yang pertama menjawat jawatan Pemerintah Skuadron pada tahun 1986.

Kepada mu Wira Samudera…Jasamu akan tetap dikenang hingga ke akhir hayat.

(Penulis adalah graduan dari Britannia Royal Naval College, Dartmouth, United Kingdom (1973), Royal Naval Staff College, Greenwich, United Kingdom (1986), dan Royal College of Defence Studies, United Kingdom (1998)

ARTIKEL YANG SAMA