‘Jatuh cinta dengan kerjaya’

‘Jatuh cinta dengan kerjaya’

Oleh Imelda Farrah Zohre HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mei – “Minat yang membawa saya untuk memasuki bidang ini tetapi setelah memahaminya saya mula jatuh cinta dengan pekerjaan saya ini,” ujar Dayang Siti Nadhirah binti Mohd Hassan.

Beliau merupakan salah seorang penerima Anugerah Khas di Majlis Konvokesyen bagi Kursus Diploma Lanjutan Dalam Pengurusan Perkhidmatan Kesihatan Sesi 2014-2015 dan Kursus Sijil Pembantu Jururawat (Kejururawatan dan Perbidanan) sesi 2013-2015, yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini.

Semasa ditemui Media Permata, Dayang Siti Nadhirah yang menerima Anugerah Khas bagi Kursus Sijil Pembantu Jururawat (Kejururawatan dan Perbidanan), telah melahirkan rasa syukur kerana tidak menyangka anugerah itu menjadi milik beliau.

“Anugerah ini bukan disebabkan usaha saya seorang, tanpa penyelaras, guru-guru, mentor, senior dan kawan-kawan, saya tidak akan berada di sini menerima anugerah keseluruhan terbaik ini yang banyak mengajar saya banyak perkara sepanjang dua tahun,” ujarnya.

Menceritakan pengalamannya mengikuti kursus berkenaan, mula-mula masuk belajar ia memang sukar dan sangat mencabar namun dengan bimbingan para mentor beliau dapat membiasakan diri walaupun terpaksa belajar bertungkus-lumus untuk berada di kedudukan yang sama dengan rakan-rakan lain.

Haji Mohammad Khairul Annuar semasa ditemui Media Permata di majlis itu.
Haji Mohammad Khairul Annuar semasa ditemui Media Permata di majlis itu.
Dayang Siti Nadhirah berkongsi kegembiraan bersama bapa beliau.
Dayang Siti Nadhirah berkongsi kegembiraan bersama bapa beliau.

“Kadang-kadang terpaksa belajar sampai tengah malam atau awal subuh untuk mencapai yang terbaik,” ujar beliau yang ketika ini ditugaskan di Wad 33 (postnatal high risk ward) di Blok baru, Pusat Wanita dan Kanak-Kanak.

Sementara itu, Haji Mohammad Khairul Annuar bin Pehin Orang Kaya Pendikar Alam Dato Paduka Seri Haji Hasrin yang menerima Anugerah Khas bagi Kursus Diploma Lanjutan Dalam Pengurusan Perkhidmatan Kesihatan, turut menyatakan perasaan bersyukur di atas anugerah yang diberikan atas hasil usaha, komitmen sepenuhnya dan kerja keras selama dalam belajar, ditambah lagi dengan sokongan keluarga dan rakan-rakan.

“Dengan melihat setiap tugasan dan kerja yang diberikan dari perspektif yang meluas dan selepas itu mengecilkannya kepada perspektif tempatan, terutama di kawasan perkhidmatan dan pengurusan penjagaan kesihatan yang membimbangkan” jelasnya yang memiliki 15 tahun pengalaman bekerja di bidang pengurusan dan klinikal.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, beliau yang bertugas sebagai Pemangku Pegawai Ketua Eksekutif Hospital Pengiran Isteri Hajah Mariam, Temburong, menyatakan hasrat untuk memperkembangkan kemahiran di bidang pengurusan perkhidmatan kesihatan dan sejajar dengan perancangan dan visi kementerian “Bersama Ke Arah Warga Sihat”.