Jauh di pedalaman bukan halangan

Jauh di pedalaman bukan halangan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 4 April – Biarpun terletak di kawasan pedalaman, tetapi pencapaian akademik pelajar-pelajar Sekolah Rendah Datu Maharaja Setia Dian Sukang, Ulu Belait, pada tahun 2015, terutama dalam keputusan Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) menunjukkan kecemerlangan dengan memperolehi 100 peratus lulus dengan 66.7% mendapat Gred A – C.

Guru Besar sekolah itu, Dayang Rosnah binti Datu Maharaja Setia Haji Muhd Simpok, hari ini, memberitahu Media Permata bahawa jumlah pelajar semakin berkurangan apabila sesetengah penduduk berhijrah ke bandar kerana bertugas.

Menurutnya, setakat 2015, sekolah itu hanya mempunyai seramai 12 orang pelajar, antaranya tujuh orang pelajar lelaki dan lima lagi pelajar perempuan dengan tenaga pengajarnya seramai enam orang sahaja.

Beliau menekankan perkara ini ketika mengimbau kembali sejarah penubuhan sekolah tersebut yang telah meraikan Sambutan Jubli Emas ke-50 tahun pada Februari tahun lalu, dengan mengundang Pemangku Ketua Pengarah Pendidikan pada masa itu, Haji Abdul Rahim bin Derus.

“Sambutan tersebut diadakan dengan meriahnya atas kerjasama daripada ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), dan penduduk kampung serta warga sekolah dengan beberapa acara telah disediakan dibahagikan kepada sesi pagi, petang dan malam diteruskan dengan majlis keagamaan,” ujarnya.

Gambar kenangan semasa Sekolah Rendah Datu Maharaja Setia Dian Sukang mengadakan Sambutan Jubli Emas ke-50 tahun bersama tetamu kehormatnya.
Gambar kenangan semasa Sekolah Rendah Datu Maharaja Setia Dian Sukang mengadakan Sambutan Jubli Emas ke-50 tahun bersama tetamu kehormatnya.
Murid-murid Sekolah Rendah Datu Maharaja Setia Dian Sukang bersama tenaga-tenaga pengajar.
Murid-murid Sekolah Rendah Datu Maharaja Setia Dian Sukang bersama tenaga-tenaga pengajar.

Selain sambutan Jubli Emas, sekolah tersebut juga telah mengadakan aktiviti lainnya termasuk menerima lawatan daripada rombongan Jabatan Sekolah-Sekolah, Sekolah Rulang Singapura, Sekolah Rendah Jerudong, lawatan gabungan Kadet Polis Singapura dan Brunei serta Sekolah Menengah RIPAS Tutong dan sebagainya.

“Sekolah kami juga giat dalam melibatkan diri dalam Program Pengembaraan Sekolah Pendalaman oleh pihak Radio Televisyen Brunei (RTB) dan kami membawa murid-murid melawat ke kawasan bandar iaitu melawat sambil belajar di restoran Coffee Bean,” tambahnya.

Sekolah Rendah Datu Maharaja Setia Dian Sukang ditubuhkan pada tahun 1955 tetapi setahun kemudian ditutup kerana ketiadaan tenaga pengajar, bagaimanapun pada tahun 1963, sekolah itu dibuka semula dan pada 16 Jun 1964 sekolah mula digunakan dengan dikenali sebagai Sekolah Melayu Sukang.

Pada tahun 60an, jumlah murid-murid mencecah lebih 100 orang dan tenaga pengajar ditugaskan daripada empat daerah, bagaimanapun keramaian murid semakin berkurangan apabila ramai dalam kalangan penduduk berhijrah ke kawasan bandar kerana bertugas.