Jauhi pelantar minyak luar pantai

Jauhi pelantar minyak luar pantai

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Nov – Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei dengan kerjasama pihak Brunei LNG Sdn Bhd telah menganjurkan Jerayawara Keselamatan Pelantar Minyak bertempat di Kelab Rekreasi Liang Lumut, Belait bertujuan memberi kesedaran umum tentang keselamatan orang ramai khususnya para pelaut dan nelayan supaya jangan menghampiri pelantar minyak luar pantai.

Semasa jerayawara tersebut, taklimat keselamatan telah disampaikan oleh pegawai-pegawai daripada Polis Marin, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perikanan, Jabatan Laut dan Brunei LNG Sendirian Berhad.

Jerayawara dihadiri oleh pengusaha perusahaan menangkap ikan, pelaut dan nelayan di Daerah Belait. Turut hadir ialah pegawai daripada pihak Pusat Penyelarasan Maritim Kebangsaan, Jabatan Perdana Menteri, pegawai daripada Tentera Laut Diraja Brunei dan wakil daripada Pejabat Daerah Belait.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan di sini kelmarin, taklimat keselamatan yang disampaikan memfokuskan tentang risiko dan bahaya apabila kapal atau perahu menghampiri pelantar minyak luar pantai. Taklimat ini diharap dapat menimbulkan kesedaran tentang keselamatan orang ramai.

Salah seorang panel penceramah menyampaikan taklimat semasa Jerayawara Keselamatan Pelantar Minyak, kelmarin.
Salah seorang panel penceramah menyampaikan taklimat semasa Jerayawara Keselamatan Pelantar Minyak, kelmarin.

Antara lain risiko yang telah disentuh oleh penceramah adalah bahaya yang boleh mengakibatkan letupan, kebocoran, maut, kecederaan dan kerosakan harta benda. Selain itu, penceramah juga menegaskan tentang kesalahan-kesalahan dan hukuman berhubung kait dengannya.

Mengikut Perintah Perkapalan Pedagang (Zon-zon Keselamatan) (Pindaan) 2013, adalah menjadi satu kesalahan bagi kapal atau perahu yang memasuki jarak lingkungan 500 meter dari binaan-binaan yang terletak dalam lingkungan kawasan perairan wilayah dan pesisir laut Negara Brunei Darussalam.

Jika mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh dihukum di bawah perintah berkenaan dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi $100,000 sementara kapal atau perahu boleh ditahan oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, mereka yang hendak pergi ke laut dinasihatkan agar sentiasa menjaga keselamatan terutama di musim tengkujuh ini.

ARTIKEL YANG SAMA