Jawatankuasa bencana terus diaktifkan

Jawatankuasa bencana terus diaktifkan

KOTA KINABALU, 17 Jun (Bernama) – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri akan terus diaktifkan sebagai persiapan membantu penduduk yang terjejas akibat banjir di beberapa kawasan khususnya di daerah Ranau.

Beliau berkata jawatankuasa itu di peringkat daerah dianggotai oleh pelbagai jabatan dan agensi negeri dan pusat diketuai oleh Pegawai Daerah Ranau.

“Apa yang lebih utama adalah untuk memindahkan penduduk yang terlibat ke kawasan yang lebih selamat dan membuka pusat-pusat pemindahan bagi memastikan kebajikan dan keperluan mereka dapat disalurkan oleh jabatan dan agensi berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri bersama-sama kerajaan pusat akan terus memantau keadaan banjir ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan penduduk dan usaha-usaha untuk memulihkan keadaan keseluruhan kawasan terjejas banjir dapat dilaksanakan.

Sementara itu, di Kota Belud, paras air Sungai Kadamaian kembali normal berbanding semalam namun Pegawai Daerah Kota Belud, Abdul Gari Itam menyatakan kebimbangannya sekiranya berlaku hujan lebat berterusan sehingga mengakibatkan banjir lumpur sekali lagi.

“Tetapi setakat ini, hujan tidak lebat dan pemantauan sentiasa dijalankan bagi memastikan keadaan penduduk dan kawasan sekitar selamat untuk didiami,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Abdul Gari berkata banjir lumpur yang berlaku semalam telah menjejaskan pengeluaran bekalan air bersih untuk penduduk terutamanya di Kampung Kedamaian dan Kiau kerana loji rawatan air Kampung Babayat tidak dapat memproses atau merawat air sungai yang keruh.