Jawatankuasa PBB nilai hak kanak-kanak Brunei

Jawatankuasa PBB nilai hak kanak-kanak Brunei

GENEVA, 19 Jan – Hak kanak-kanak di Brunei Darussalam akan dinilai semula oleh Jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi Hak Kanak-Kanak (CRC) pada 21 Januari ini dalam sesi-sesi yang akan disiarkan langsung melalui webcast.

Brunei merupakan salah sebuah daripada 196 buah negara yang telah mengesahkan Konvensyen Hak-hak Kanak-kanak dan dengan yang demikian perlu menjalani pemeriksaan kerap ke atas rekodnya oleh jawatankuasa yang terdiri daripada 18 orang pakar bebas.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Pesuruhjaya mengenai Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di sini hari ini, anggota CRC akan mengadakan rundingan dengan delegasi kerajaan Brunei Darussalam tentang bagaimana konvensyen itu dilaksanakan. Jawatankuasa itu akan mengasaskan penilaiannya pada jawapan delegasi Brunei, dan juga maklumat daripada kumpulan-kumpulan masyarakat awam.

Kenyataan itu berkata, isu-isu yang mungkin dibincangkan termasuk kriteria bagi memastikan sistem undang-undang (Islam, sekular atau sebaliknya) digunakan bagi isu-isu yang mana; pelbagai usia minimum untuk berkahwin; perlindungan daripada diskriminasi bagi kanak-kanak yang lahir di luar pernikahan; pendaftaran kelahiran universal dan bebas; langkah untuk mencegah kanak-kanak tidak bernegara; kebebasan agama dan kepercayaan bagi kanak-kanak; usia minimum, perlindungan dan keadaan bagi kanak-kanak bekerja; status sah khatan perempuan, langkah untuk membasminya; usia minimum tanggungjawab jenayah serta hukuman jasmani.

CRC akan mengadakan sidang media untuk membincangkan penemuannya tentang Brunei Darussalam dan negara-negara lain yang sedang dinilai semula, termasuk Senegal, Iran, Oman, Latvia, Perancis, Ireland, Haiti, Peru, Maldives, Zimbabwe, Zambia, Benin dan Kenya pada pukul 12 tengah hari, 4 Februari di Palais des Nations, Geneva.

Orang ramai berpeluang mengikuti sesi berkenaan yang disiarkan secara langsung menerusi sesawang http://www.treatybodywebcast.org/.

ARTIKEL YANG SAMA