JBA Labuan sedia hadapi musim kering

JBA Labuan sedia hadapi musim kering

LABUAN, 12 Jan (Bernama) – Jabatan Bekalan Air Labuan (JBA Labuan) bersedia untuk menghadapi musim kering yang berpanjangan yang boleh menyebabkan kekurangan bekalan air berikutan fenomena El Nino yang kini melanda negara.

Pemangku pengarahnya, Law Jia Haur berkata pelan kontingensi termasuk catuan air akan dilakukan bergantung kepada keperluan yang mendesak.

“Walaupun kami mendapat bekalan air sepenuhnya dari tanah besar Sabah melalui Sungai Padas di Beaufort, empangan kami masih berada pada paras stabil,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pulau bebas cukai itu selama ini menerima bekalan air dari Sungai Padas di Beaufort menerusi paip air dasar laut yang merentasi kira-kira 25.7 kilometer dari Beaufort ke pulau berkenaan.

Projek paip air dasar laut fasa kedua itu membabitkan sejumlah RM387 juta untuk membekalkan tambahan 38 juta liter air setiap hari untuk kegunaan domestik dan industri minyak dan gas yang berkembang pesat.

Law berkata air dari Sungai Padas disalurkan ke tiga empangan iaitu Empangan Kerupang, Bukit Kuda dan Sungai Pagar sebelum dibekalkan kepada lebih 100,000 penduduk.

“Pada masa ini terdapat lebih 17,400 pemegang akaun berdaftar dan jumlah itu akan meningkat sedikit disebabkan bilangan penduduk yang bertambah,” katanya.

Beliau berkata pulau itu kini bergantung kepada dua empangan air kerana Empangan Kerupang sedang menjalani kerja-kerja pengorekan untuk mendalamkan empangan tersebut yang akan selesai hujung tahun ini.

Law turut mengingatkan kepada orang ramai agar menguruskan penggunaan air harian mereka dengan baik berikutan fenomena itu.

“Ia merupakan fenomena global yang tidak boleh dielakkan tetapi kita boleh membuat kelainan dengan menggunakan air dengan bijak. Tidak semestinya guna air terawat untuk menyiram pokok tetapi kita perlu menuai air hujan dan bukannya digunakan untuk pokok,” katanya.

Intensiti hujan di Malaysia dijangka berkurangan antara 20 hingga 60 peratus bermula tahun ini, ekoran fenomena El Nino yang melanda negara pada masa ini.