JBPM sasar 15,000 anggota PBB di seluruh negara

JBPM sasar 15,000 anggota PBB di seluruh negara

KOTA KINABALU, 11 Dis (Bernama) – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyasarkan sebanyak 15,000 anggota Pegawai Bomba Bantuan (PBB) di seluruh negara bagi membantu anggota tetap yang bertugas di balai bomba kategori D.

Penolong Ketua Pengarah Bahagian Latihan JBPM, Mohammad Hamdan Wahid berkata langkah itu merupakan sasaran jangka panjang selain Petunjuk Pretasi Utama (KPI) jabatan untuk memastikan kekuatan balai bomba berkenaan sentiasa mencukupi.

Ini kerana, katanya, balai bomba kategori D memerlukan keanggotaan ramai kerana terletak di kawasan kepadatan penduduk melebihi 20,000 orang yang perlu dilindungi daripada sebarang insiden kebakaran atau bencana.

Untuk tahun ini, JPBM merekodkan kira-kira 1,200 anggota PBB dilatih dan menjalani kursus asas serta pentauliahan, katanya kepada pemberita selepas Majlis Pentauliahan 55 anggota PBB di sini hari ini.

Di Sabah, terdapat 160 anggota PBB termasuk 40 pasukan Mencari dan Menyelamat (MoSAR) di Gunung Kinabalu, kata Mohammad Hamdan.

Beliau berkata pelantikan PBB itu juga dibuat bagi menampung kekurangan anggota di setiap balai berikutan pertukaran jadual kerja anggota daripada 12 jam kepada 24 jam yang akan meningkatkan lagi perkhidmatan lebih berkesan.

Katanya, dengan adanya PBB sebagai tenaga sokongan kepada kira-kira 14,500 anggota bomba tetap seluruh negara, ia akan membantu mencapai dasar JBPM untuk memberikan perkhidmatan 1:500 penduduk pada masa akan datang.

“Masa latihan PBB selama 10 hari untuk 100 jam mereka dibayar RM6 setiap jam dan ketika bertugas juga turut dibayar elaun,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohammad Hamdan mengingatkan setiap pemilik kediaman agar memasang alat pengesan asap sebagai amaran jika berlaku kebakaran memandangkan tahun lalu sebanyak 75 kes kematian akibat terperangkap dalam kebakaran direkodkan.

Mohammad Hamdan berkata JBPM turut mempertimbangkan untuk mewujudkan pasukan MoSAR di Pahang dan Selangor.