JBPM sedia bantu padam kebakaran di Indonesia

JBPM sedia bantu padam kebakaran di Indonesia

KOTA KINABALU, 14 Sept (Bernama) – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedia memberi bantuan untuk memadamkan kebakaran hutan di Indonesia, kata Ketua Pengarahnya Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, hari ini.

Namun, setakat ini, beliau berkata pihaknya masih belum menerima arahan untuk menghantar anggota bagi membantu memadamkan kebakaran itu, punca keadaan berjerebu di negara ini.

Wan Mohd Nor bercakap kepada pemberita selepas majlis penganugerahan pingat jabatan itu di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata keadaan di negara ini adalah terkawal kerana tiada pembakaran terbuka yang memburukkan lagi keadaan berjerebu pada masa ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan pingat jabatan itu kepada 19 anggota bomba termasuk mendiang Apolos Jeremos yang terkorban semasa menjalankan tugas Julai lalu.

Sementara itu, isteri mendiang Apolos, Laurinjah Saimin, 23 yang kini hamil lapan bulan melahirkan rasa syukur dengan penghargaan itu.

Katanya, beliau akan sentiasa mengingati pesanan mendiang supaya anaknya menjadi seorang anggota bomba suatu hari nanti.