JCMS capai kejayaan

JCMS capai kejayaan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Nov – Sejak beroperasi sepenuhnya, sepanjang Mac hingga November tahun ini, sebanyak 1,179 perkara mahkamah tinggi dan 2,991 perkara mahkamah rendah dari keempat-empat daerah mengguna pakai Sistem Pengurusan Kes Kehakiman (JCMS) melalui Sistem e-Filing dan Sistem Pengurusan Kes.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Besar, Yang Arif Pengiran Hajah Rostaina binti Pengiran Haji Duraman pada sesi Dialog Mengadaptasikan Perubahan Melalui Sistem Pengurusan Kes Kehakiman, yang berlangsung di Dewan Jubli Emas, Bangunan Undang-undang dan Mahkamah, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ketua Hakim Negara, Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Haji Kifrawi bin Dato Paduka Haji Kifli.

Dalam ucapan alu-aluannya, beliau berkata, sejak pelancaran JCMS kira-kira lapan bulan lalu, pihaknya telah mencapai pelbagai kejayaan serta masalah yang berkaitan pelaksanaannya.

“Dengan segala cabaran yang dihadapi itu, JCMS tidak mengekang kami daripada terus bergerak ke depan dan kami mengenal pasti bahawa JCMS telah mengubah budaya kerja kami, tidak hanya di firma guaman, tetapi juga di mahkamah,” katanya.

Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Haji Kifrawi (dua kanan), Yang Arif Pengiran Hajah Rostaina bersama tetamu lain yang hadir pada majlis itu.
Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Haji Kifrawi (dua kanan), Yang Arif Pengiran Hajah Rostaina bersama tetamu lain yang hadir pada majlis itu.
Sesi dialog daripada pakar ITEG, EGNC ketika membincangkan mengenai penyambungan Internet dan isu berkaitan jaringan.
Sesi dialog daripada pakar ITEG, EGNC ketika membincangkan mengenai penyambungan Internet dan isu berkaitan jaringan.

JCMS telah dilancarkan secara rasmi semasa Upacara Pembukaan Tahun Undang-undang 2015 pada 23 April lalu.

Yang Arif Pengiran Hajah Rostaina menjelaskan, sebagai sebahagian daripada langkah ke arah penggunaan sepenuhnya sistem tersebut pihak mahkamah telah merancang dalam masa terdekat supaya semua kes sivil difailkan secara elektronik.

Menurutnya lagi, dialog tersebut merupakan salah satu inisiatif mahkamah untuk bergerak ke depan dengan membuka saluran atau wadah untuk memudahkan pertukaran fikiran di antara Mahkamah Sivil dengan pihak-pihak berkepentingan serta untuk meningkatkan kerjasama.

Ujarnya, dialog tersebut juga menunjukkan sikap keterbukaan mahkamah dalam menerima pandangan daripada semua pihak berkepentingan tentang bagaimana untuk memperbaiki Sistem Pengurusan Kes Kehakiman.

“Saya telah menerima banyak komen membina daripada para pengguna yang menyatakan bahawa JCMS telah banyak mengurangkan penggunaan kertas, kemudahan mengakses dokumen mahkamah serta membolehkan kes difailkan dari pejabat tanpa perlu melakukannya di mahkamah.

“Memang tidak memeranjatkan, dalam tempoh peralihan itu pihak kami menemui beberapa masalah pengurusan dan juga teknikal, seperti masalah teknikal jaringan serta isu dalaman sistem.”

Sehubungan itu, ujarnya lagi, antara yang hadir pada sesi dialog itu ialah para pakar dari Unit IT dan e-Kerajaan (ITEG), Jabatan Perdana Menteri serta Pusat Kebangsaan e-Kerajaan (EGNC) bagi menangani dan mencari rumusan sebarang masalah berkaitan penyambungan Internet dan isu berkaitan jaringan.

Hadir sama pada sesi dialog itu ialah Hakim Mahkamah Tinggi, Yang Arif Dato Paduka Haji Hairol Arni bin Haji Abdul Majid dan Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Mohd Juanda bin Haji A. Rashid.

ARTIKEL YANG SAMA