JDB terima lawatan sambil belajar

JDB terima lawatan sambil belajar

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 6 Mac – Jabatan Daerah Belait (JDB) telah menerima lawatan sambil belajar daripada Jillian Childress dari ICMA Local Government Professional Fellow sebagai susulan Program Inisiatif Kepimpinan Belia Asia Tenggara (YSEALI).

Lawatan setengah hari itu telah dimulakan dengan mendengarkan taklimat mengenai Daerah Belait yang telah disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II Jabatan Daerah Belait, Dayang Nurhaijah binti Haji Mohd Isa, yang antara lain menyentuh mengenai majlis-majlis perundingan mukim dan kampung termasuk Satu Kampung Satu Produk (1K1P).

Hadir sama mengalu-alukan kunjungan Jillian Childress ialah Penolong Pegawai Daerah Belait, Awang Hasmiron bin Haji Mohd Taib. Semasa lawatan tersebut, pegawai-pegawai Jabatan Daerah Belait juga telah membawa Jillian Childress melihat keindahan Daerah Belait dan mengakhirinya dengan berkunjung ke Balai Raya Kampung Lumut 1, di mana rombongan telah dialu-alukan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Ketua Kampung Lumut 1, Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bin Ahmad.

Jillian Childress berpeluang menyaksikan Pameran Mini Satu Kampung Satu Produk semasa lawatan beliau ke Balai Raya Kampung Lumut 1 yang dialu-alukan oleh Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee.
Jillian Childress berpeluang menyaksikan Pameran Mini Satu Kampung Satu Produk semasa lawatan beliau ke Balai Raya Kampung Lumut 1 yang dialu-alukan oleh Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee.

Perbincangan antara rombongan pelawat bersama ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung Lumut 1 turut diadakan, selain berpeluang menyaksikan pameran mini 1K1P kampung tersebut. Lawatan itu juga telah membukakan peluang untuk kedua-dua pihak bertukar-tukar pendapat dan pandangan mengenai pentadbiran kerajaan tempatan dan seterusnya mengenali budaya, tradisi dan adat resam negara terutamanya Daerah Belait.

YSEALI merupakan program pertukaran antara pegawai kerajaan, pihak swasta dan persatuan-persatuan di Asia Tenggara bersama pegawai dari Amerika Syarikat.

ARTIKEL YANG SAMA