JDT juara Liga Super

JDT juara Liga Super

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) – Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya mempertahankan Piala Liga Super walaupun kalah mengejut 2-1 kepada Felda United pada aksi terakhir liga musim 2015 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, dekat sini, Sabtu malam.

Kejayaan skuad Harimau Selatan mempertahankan mahkota Liga Super yang dimenangi buat pertama kali tahun lepas, turut dibantu kekalahan seteru utama, Pahang yang tewas 3-1 kepada Terengganu di tempat lawan.

Selaku juara, JDT membawa pulang wang tunai berjumlah RM750,000 dan Piala Liga Super yang disampaikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim kepada kapten pasukan, Safiq Rahim.

Penaung Diraja PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri baginda, Che Puan Khaleeda Bustamam turut berkenan berangkat menyaksikan perlawanan berkenaan.

Kejayaan muncul juara Liga Super 2015 turut membolehkan JDT layak selaku wakil Malaysia ke saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2016.

Pada aksi malam ini, Felda united selesa mendahului 2-0 hasil jaringan Shahril Mohd Saad pada minit keempat dan sepakan penalti oleh Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-11 sebelum JDT bangkit mengurangkan defisit jaringan hasil sepakan penalti oleh Luciano Figueroa pada minit ke-34.

Terdahulu, JDT terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah pemain pertahanannya, Junior Eldstal dilayangkan kad merah oleh pengadil Samsudin Ibrahim pada minit kesembilan kerana dikatakan membantah keputusan menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan tuan rumah.

Di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, pasukan Terengganu mengalahkan Pahang 3-1, sekali gus menyaksikan pasukan pelawat sekadar muncul naib juara Liga Super di belakang JDT.

Tiga gol skuad Penyu dijaringkan oleh Issey Nakajima-Farran pada minit ke-14, Mohd Ashari Samsudin (minit ke-32) dan Mohd Nasril Izzat Jalil pada minit ke-66 manakala Pahang meraih gol saguhati menerusi Damion Delano Stewart pada minit ke-47.