JDT kukuhkan kedudukan

JDT kukuhkan kedudukan

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Juara Piala AFC 2015, Johor Darul Ta’zim (JDT) merancang menjalin kerjasama dengan kelab gergasi Eropah, Barcelona dan Real Madrid dalam usaha memperkukuhkan kedudukan pasukan itu pada masa depan, Berita Harian melaporkan hari ini.

Selain itu, juara Liga Super itu juga dijangka mengadakan kerjasama serupa dengan juara Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) selain satu lagi kelab terkenal Sepanyol, iaitu Valencia.

Usaha itu akan dirintis oleh Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang bakal melakukan lawatan kerja ke Eropah pada 3 Disember ini.

Mengikut entri terbaharu laman facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers sebentar tadi, kunjungan Tunku Mahkota Johor itu adalah bagi meluaskan jaringan usaha sama antara juara berganda Liga Super itu dengan semua kelab gergasi berkenaan.

“Lawatan kerja akan dimulakan dengan perjumpaan bersama pemilik dan pengurusan kelab Valencia CF, bagi membincangkan usaha sama yang bakal dijalinkan antara kedua-dua kelab. “Seterusnya adalah mesyuarat bersama pihak pengurusan FC Barcelona, kemudian akan diteruskan dengan kunjungan hormat atas jemputan Presiden Real Madrid CF, Florentino Perez.

“Sebelum berangkat pulang ke Johor, DYAM Tunku Ismail dijadualkan untuk bertemu dengan Naseer Al-Khelaifi, Presiden Paris St Germain, untuk membincangkan peluang untuk menjalinkan jaringan usaha sama dengan kelab gergasi Eropah tersebut,” mengikut entri terbaharu JDT itu.

Tunku Ismail yang sedang berada di Argentina dijadual pulang ke Johor pada Jumaat ini.

ARTIKEL YANG SAMA