JDT pecah monopoli kelab Asia Barat

JDT pecah monopoli kelab Asia Barat

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) merupakan pasukan Asia Timur pertama yang berjaya memecahkan monopoli pasukan-pasukan Asia Barat pada Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata JDT adalah satu-satunya kelab dari Asia Timur, termasuk Asia Tenggara yang menjuarai kejohanan peringkat kedua tertinggi di Asia yang sebelum ini dikuasai oleh kelab-kelab dari negara Asia Barat iaitu, Kuwait, Jordan, Bahrain, Syria dan Uzbekistan.

“Sejak Piala AFC diperkenalkan pada tahun 2004, tidak pernah ada mana-mana pasukan dari Asia Timur muncul juara sehingga JDT mencipta sejarah malam tadi. Saban tahun wakil-wakil dari Malaysia hanya mampu melangkah setakat peringkat suku akhir.

“Saya mewakili Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, barisan Jawatankuasa Eksekutif FAM serta seluruh warga kerja FAM ingin mengucapkan jutaan tahniah kepada JDT di atas kejayaan mereka muncul juara kejohanan Piala AFC tahun ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

JDT muncul juara selepas menewaskan pasukan dari Tajikistan, FC Istiklol 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Central Republican, Dushanbe, Sabtu malam sekali gus, mengubat kekecewaan mereka yang gagal melepasi saingan peringkat kumpulan dalam penampilan sulung pada 2009, yang ketika itu dikenali sebagai Johor FC.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Leandro Velazquez pada minit ke-23, manakala kapten JDT Safiq Rahim dinobatkan sebagai pemain paling bernilai.

Hamidin yang hadir menyaksikan perlawanan itu di Dushanbe bersama Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, kejayaan membanggakan skuad Harimau Selatan itu perlu dicontohi dan menjadi inspirasi kepada pasukan-pasukan lain di Malaysia untuk mempunyai cita-cita tinggi bagi mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa.

ARTIKEL YANG SAMA