JDT Rampas Takhta Liga Super

JDT Rampas Takhta Liga Super

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) memintas Pahang dengan kelebihan tipis satu mata untuk mengungguli persada Liga Super selepas mengalahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.

Gol berharga itu dihadiahkan oleh penyerang kebangsaan Mohd Safee Sali pada minit ke-72 bagi membolehkan skuad Harimau Selatan mengumpul 40 mata selepas Pahang gagal mempertahankan kedudukan pendahulu.

Buruan gelaran liga semakin mencabar apabila Pahang kalah 4-2 kepada wakil Singapura, Lions XII di gelanggang lawan di Stadium Jalan Besar. Tuan rumah mendahului skuad Tok Gajah di separuh masa pertama dengan kedudukan 2-1 menerusi jaringan Faris Ramli dan Madhu Mohana masing-masing pada minit ke 17 dan 30, sebelum Matias Conti merapatkan jurang pada minit ke-43.

Pada babak kedua, Faris sekali lagi menggegar kedudukan pelawat menerusia jaringan pada minit ke-60 sebelum Safuwan Baharudin menambah derita Pahang pada minit ke-85. Pahang yang cuba bangkit dengan merapatkan jurang jaringan menerusi R. Surendran pada masa kecederaan.

Di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan tewas 2-1 kepada Terengganu. Bagaimanapun, Ahmad Fakri Saarani mencipta rekod selaku penjaring terpantas selepas 17 saat perlawanan berlangsung untuk meletakkan Kelantan di hadapan.

Namun, pemain import Terengganu yang berasal dari Cameroon, Vincent Bikana menyamakan kedudukan pada minit ke-25, sebelum Ashari Samsudin menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-73 untuk membolehkan skuad Penyu melonjak ke tangga kelima liga dengan 29 mata.

Di Kuching, tandukan pemain pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mohd Afif Amirudin sebelum perlawanan tamat, memusnahkan impian tuan rumah, Sarawak untuk mengutip mata penuh di Stadium Negeri. PDRM mengalahkan Sarawak 3-2.

Ahmad Ezrie Shafizi Sazali meletakkan pasukan ‘The Cops’ di hadapan pada minit ke-20, untuk mendahului 1-0 di separuh masa pertama.

Joseph Kalang Tie menyamakan kedudukan empat minit selepas babak kedua dimulakan sebelum Ryan Griffiths meletakkan Sarawak di hadapan pada minit ke-78. Pemain import PDRM, Dramane Traore mengikat tuan rumah 2-2 pada minit ke-85 sebelum Mohd Afif menyempurnakan sepakan sudut pada minit ke-89.