JDT selangkah pertahan gelaran Liga Super

JDT selangkah pertahan gelaran Liga Super

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Johor Darul Ta’zim (JDT) hanya selangkah lagi untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super 2015 selepas mencerahkan peluang dengan melakar kemenangan selesa 4-1 ke atas Perak di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam Rabu.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad Harimau Selatan memintas kedudukan Pahang di tangga teratas liga dengan kelebihan dua mata dengan kutipan 46 mata selepas 21 perlawanan.

Pahang pula turun ke tangga kedua liga selepas seri 2-2 dengan Felda United di laman sendiri. JDT bakal dimahkotakan juara Liga Super 2015 sekiranya mengalahkan Felda United pada aksi terakhir liga di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sabtu ini.

Pahang pula akan menentang Terengganu pada perlawanan akhir musim di laman lawan pada hari yang sama. Pada aksi di Larkin, JDT meraih jaringan menerusi Luciano Figueroa pada minit ke-44, Mohd Nazrin Nawi (minit ke-47), S. Chanturu (minit ke-66) dan Safiq Rahim pada minit ke-71 manakala Perak memperolehi gol saguhati hasil sentuhan pemain import dari Brazil, Thiago Junior Aquino pada minit ke-60.

Pahang pula mempersiakan peluang beraksi di laman sendiri setelah seri dengan Felda United di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Gol skuad Tok Gajah dihasilkan oleh dua pemain import, Dickson Nwakaeme pada minit ke-48 dan Damian Delano Stewart pada minit ke-78 manakala penyerang import dari Brazil, Thiago Augusto Fernandes menjaringkan gol untuk pasukan pelawat pada minit ke-62 dan selang enam minit kemudian.

Di Stadium Shah Alam, pasukan Selangor mengutip tiga mata selepas mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Kelantan menerusi gol daripada Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-23 selain dua gol oleh Guilherme De Paula pada minit ke-49 dan sepakan penalti pada minit ke-63.

Terdahulu, pasukan tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Muhammad Nazmi Faiz Mansor dilayangkan kad merah oleh pengadil, Suhaizi Shukri pada minit ke-89 kerana dikatakan meludah pemain lawan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA