Jedinak padamkan cemas Socceroos

Jedinak padamkan cemas Socceroos

MELBOURNE, 12 Okt – Jaringan penalti pada babak kedua Mile Jedinak membantu Australia untuk berkongsi satu mata dengan Jepun selepas seri 1-1 dalam perlawanan kelayakan Kumpulan B Piala Dunia zon Asia.

Genki Haraguchi meletak pasukan pelawat di hadapan seawal minit keenam apabila dia mengambil peluang daripada kesilapan dilakukan jentera pertahanan Australia.

Bagaimanapun penyerang Hertha Berlin itu membenarkan pihak tuan rumah meraih sepakan penalti pada babak kedua selepas menolak Tomi Juric.

Jedinak yang beraksi bersama kelab Aston Villa kemudiannya menyempurnakan sepakan penalti berkenaan.

“Kami menjangkakan reaksi daripada kami sendiri dan itulah yang kami dapat,” kata Jedinak. “Pada babak kedua kami lebih tenang, pergerakan kami juga lebih baik.”

Keputusan seri itu adalah yang kedua buat Australia selepas diikat 2-2 dengan Arab Saudi Khamis lalu dan meneruskan rentak tanpa kalah Socceroos dalam empat perlawanan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA