Jejak Ehsan ziarahi Adam

Jejak Ehsan ziarahi Adam

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 9 Mei – Himpunan Wanita Parti Pembangunan Bangsa (HAWA NDP), hari ini mengadakan Program Jejak Ehsan mengunjungi Adam Darwis yang menderita penyakit di bahagian kepala yang semakin membesar, di kediamannya di Rancangan Perumahan Negara Kampung Lumut di sini.

Mengetuai kunjungan ialah Ketua HAWA NDP Pusat, Dayang Kartini binti Abdul Manap dan turut disertai sama timbalannya, ahli-ahli majlis tertinggi pertubuhan dan Ketua Ranting Lumut, Pengiran Kamaruddin bin Pengiran Sarnawi serta anggota Jabatan Setiausaha Agung (JASA).

Kunjungan tersebut diteruskan dengan penyampaian sumbangan daripada rombongan berkenaan, dengan hasrat supaya dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh ibu bapa Adam Darwis.

Adam pada masa ini hanya terlantar dalam keadaan kepalanya yang semakin membesar, tanpa perubatan lanjutan daripada pihak hospital berkenaan.

Rombongan HAWA NDP bersama ahli persatuan lain dalam Program Jejak Ehsan mengunjungi kediaman Adam Darwis di rumahnya di RPN Lumut di sini.
Rombongan HAWA NDP bersama ahli persatuan lain dalam Program Jejak Ehsan mengunjungi kediaman Adam Darwis di rumahnya di RPN Lumut di sini.

Dayang Kartini memberitahu media, sejurus terbaca berita Adam Darwis dalam akhbar baru-baru ini, dengan rasa simpati terhadap perasaan ibu bapa anak damit itu, mereka telah membuat keputusan membuat kunjungan sambil memanjatkan doa ke atas anak damit tersebut semoga Allah meringankan sengsara yang ditanggungnya.

Adam Darwis, tujuh bulan, dikatakan pihak hospital mengalami Craniosynostosis, kini di bawah jagaan ibu bapanya, Awang Lani bin Karim dan Dayang Jainah binti Sarah, yang mengharapkan semoga pihak berkenaan memberikan perubatan alternatif terhadap anak damit mereka, yang pada andaian doktor hanya akan mengalami kepala yang semakin meruncing ke atas, tetapi sebaliknya kepala anak damit itu semakin membesar dan baru-baru ini telah mengeluarkan sejenis cecair.

ARTIKEL YANG SAMA