Jejak kenangan dunia kewartawanan Azman Ujang

Jejak kenangan dunia kewartawanan Azman Ujang

KUALA LUMPUR – “Jika saya boleh putar balik jarum jam pun, saya akan buat perkara yang sama. Saya mahu jadi pemberita dan jika pencen sebagai pemberita pun tak mengapa. “Prinsip saya mesti lakukan yang terbaik. Saya hanya mahu menjadi seorang pemberita yang baik. Ini sudah sebati dalam diri saya. “Dengan rasa rendah diri mungkin saya boleh katakan cita-cita ini sudah pun saya capai,” demikian kata Datuk Seri Azman Ujang, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Azman dilahirkan di Kapit, Sarawak. Ayahnya berketurunan Minangkabau berasal dari Negeri Sembilan dan merantau ke bumi kenyalang itu pada tahun 1939. Ayah Azman berkhidmat sebagai pegawai pertanian dan bertemu jodoh dengan gadis Melayu Sarawak bernama Rokayah Abang Tokay. Bagi Azman, Bernama adalah tempat kerja pertama dan terakhir. Selama lebih 37 tahun beliau bekerja dengan penuh komitmen dan dedikasi.

“Bernama adalah gedung ilmu saya. Alhamdulillah, walaupun tanpa pelajaran tinggi rezeki saya memang banyak khususnya di Bernama,” kata Azman yang mesra dipanggil AU dalam kalangan wartawan ketika diwawancara baru-baru-baru ini.

Minat menulis

Azman yang boleh dianggap sebagai wartawan otai ini begitu nostalgik ketika berkongsi pengalaman silamnya. Beliau juga dengan rendah diri berkata “ada ke suratkhabar nak siar cerita saya ni?” Anak kelima daripada 10 beradik ini mula mengasah bakat menulisnya dengan menghantar surat kepada ‘Letters to the Editor’, Sarawak Tribune, menggunakan nama pena “Ujang Jr”.

Bakat menulisnya mendapat perhatian guru Englishnya, Cik Chan Syn Ngo sewaktu Azman bersekolah di tingkatan empat dan lima di Kuching, Sarawak. Beliaulah yang menggalakkan Azman menceburi bidang kewartawanan. Semasa di sekolah lagi Azman sudah membaca akhbar Straits Times dan majalah Newsweek. Minat membacanya itulah yang membantu Azman ketika ditemuduga untuk jawatan pemberita kadet Bernama sekitar Jun 1971 selepas peperiksaan Senior Cambridge.

Antara soalan yang diajukan (Allahyarham) Tan Sri Mazlan Nordin, Ketua Pengarang Bernama ketika itu ialah sama ada beliau ada membaca majalah luar negara. “Saya jawab saya baca Newsweek. Mazlan tanya berita apa yang menghiasi muka depan edisi terkini. Saya beritahu majlis perkahwinan Rumah Putih, perkahwinan Tricia Nixon, anak Presiden Amerika masa itu, Richard Nixon,” kata Azman sambil menambah Mazlan kagum dengan pengetahuan amnya.

Hanya dua orang dipilih untuk mengisi jawatan pemberita kadet dan Azman adalah seorang daripadanya.

“Ada seorang yang tidak berjaya tapi akhirnya menjadi ahli politik kanan dan penolong menteri dalam kabinet Sarawak selama lebih 30 tahun sehingga pilihan raya negeri Mei lepas,” kata Azman.

Meskipun gaji permulaan pada masa itu hanya RM220 dan elaun RM60, Azman amat bersyukur kerana akhirnya berjaya menceburi bidang yang menjadi impiannya.

Ternyata karier Azman di Bernama bukan setakat pemberita kadet. Beliau terus menggilap kecemerlangan sehingga dilantik sebagai ketua pengarang, pengurus besar dan kemudiannya pengerusi. Kalau hendak diikutkan tidak ramai pemberita yang berjaya sampai ke peringkat yang setinggi itu.

Datuk Seri Azman Ujang menghayati gambar beliau dan beberapa bekas ketua pengarang termasuk Tan Sri Mazlan semasa ditemuramah wartawan di Wisma Bernama. – Bernama
Datuk Seri Azman Ujang menghayati gambar beliau dan beberapa bekas ketua pengarang termasuk Tan Sri Mazlan semasa ditemuramah wartawan di Wisma Bernama. – Bernama
Datuk Seri Azman Ujang menunjukkan gambar bekas Ketua Pengarang Tan Sri Mazlan Nordin semasa ditemuramah wartawan Bernama di Wisma Bernama. – Bernama
Datuk Seri Azman Ujang menunjukkan gambar bekas Ketua Pengarang Tan Sri Mazlan Nordin semasa ditemuramah wartawan Bernama di Wisma Bernama. – Bernama

Selalu yang terbaik

Sentiasa mahu melakukan yang terbaik. Inilah falsafah kerja Azman! Beliau juga mempunyai ‘contact’ yang tidak terkira banyaknya. Ini memudahkan beliau menghasilkan berita dengan pantas apabila timbul isu panas. Jumlah berita yang dihasilkan sepanjang kariernya sebagai wartawan mungkin ribuan banyaknya.

Bagi Azman, tidak timbul isu pilih kasih apabila beliau menghasilkan berita. Apa yang ditulis adalah penilaiannya secara jujur tentang satu-satu isu. Namun, ada kalanya tulisannya mencetuskan kontroversi dan kemarahan sesetengah pihak. Azman bukan setakat menulis berita biasa-biasa sahaja. Beliau lebih suka menulis analisis berita. Beliau juga dikenali gemar mengajukan ‘soalan yang menyengat’ pada sidang akhbar atau sesi wawancara.

Tidak hairanlah sekiranya Azman berkata program TV kegemarannya ialah “Hard Talk” oleh BBC. Sebagai pengarang, beliau mahu pemberita Bernama menulis berita yang boleh menarik perhatian pelanggan agensi berita itu termasuk stesen radio dan TV, media cetak dan portal berita.

Apabila Azman kembali ke Bernama awal tahun ini sebagai pengerusi, beliau berharap pencapaian beliau memberi inspirasi kepada generasi muda pemberita.

“Yang penting pastikan berita yang ditulis berdasarkan fakta dan penyampaian berita mempunyai ‘oooomph’! Mesti lakukan yang terbaik. Bagi saya kalau kita tanya soalan yang tepat, pastinya kita boleh tulis berita yang padat. “Saya tak buat kerja cincai dan saya juga tak boleh terima kerja cincai,” tegasnya.

Banyak kenangan

Banyak pengalaman yang kekal segar dalam ingatan Azman tatkala ditanya kisah menarik yang dilalui sepanjang karier sebagai wartawan. Banyak juga nama yang tersimpan kemas dalam kotak ingatannya. “Saya berkesempatan bertemu dengan ramai orang termasuk tokoh-tokoh hebat, memang tak boleh kira kerana begitu ramai.

“Ini yang menariknya menjadi wartawan, berpeluang berjumpa dengan orang daripada pelbagai latar belakang, dari kerabat diraja kepada presiden, perdana menteri sehinggalah petani serta nelayan,” kata Azman.

Antara kenangan paling tidak dapat dilupakan ialah kesempatan menjejakkan kaki ke pejabat Presiden Amerika Syarikat yang lebih dikenali sebagai ‘the Oval Office’ sekitar tahun 1994.

Azman serta beberapa wartawan Malaysia menyertai rombongan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengadakan pertemuan dengan Presiden Bill Clinton.

“Rasa berdebar pun ada apabila melangkah masuk ke White House yang selama ini kita hanya dengar atau baca. Apatah lagi ke dalam Oval Office, pejabat orang paling berkuasa di dunia.

“Apabila Tun Dr Mahathir dan Presiden Clinton melangkah keluar dari Oval Office untuk menemui wartawan, kami berasa sangat teruja. Saya sudah bersedia untuk mengemukakan soalan. Zulkafly Baharuddin, bekas wartawan Bernama dan pada masa itu pewarta sambilan di Washington bertuah kerana berpeluang mengemukakan soalan terlebih dahulu.

Beliau bertanya kepada Clinton pandangannya tentang Dr Mahathir yang memang terkenal dengan komen kritikal terhadap kuasa Barat, termasuk Amerika Syarikat.

“Saya tak ingat apa jawapan Presiden Clinton dan saya yang memang sudah sedia untuk bertanya berasa kecewa apabila setiausaha akhbar White House berkata: Satu soalan sahaja. Terima kasih.”

Pengalaman lain ialah sewaktu membuat liputan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland pada tahun 2001. Azman bersama sekumpulan wartawan Malaysia terserempak dengan seorang pemimpin. Beliau ialah Shimon Peres. Ketika itu beliau Menteri Luar Israel dan kemudiannya menjadi Perdana Menteri dan berikutnya Presiden. Beliau meninggal dunia bulan lepas.

Jarang sekali untuk wartawan Malaysia dapat bertemu dengan pemimpin Israel dan Israel adalah satu-satunya negara yang rakyat Malaysia dilarang berkunjung.

“Pada kesempatan itu kami memperkenalkan diri. Peres kata dia boleh tahu kami orang Malaysia. Peres berkata beliau memang mengikuti kenyataan kritikal Mahathir mengenai Israel tetapi beliau memahami kedudukan Perdana Menteri kita. “Sebelum meninggalkan kami Peres berkata beliau sememangnya mengikuti ucapan Mahathir di arena antarabangsa dan meminta kami memberitahu Mahathir mengenai perkara itu,” kata Azman.

Menurut Azman, beliau dan rakan-rakan wartawan yang lain kemudiannya memberitahu Dr Mahathir tentang perbualan dengan Peres.

Azman juga menemu bual ramai pemimpin asing termasuk Tariq Aziz, pembantu rapat Presiden Iraq. Beliau masa itu menyandang jawatan Menteri Luar dan kemudian dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Azman juga berpeluang menemu bual Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina.

Lagi kenangan

Sebagai wartawan, Azman menghormati ramai tokoh yang dianggap sebagai “great newsmaker” dan antaranya ialah bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Harris Salleh.

“Empat tahun saya di Sabah sewaktu Harris menjadi Ketua Menteri adalah tempoh paling bermakna buat saya sebagai wartawan. Banyak yang saya pelajari memandangkan keadaan politik Sabah yang bergelora masa itu,” tambah Azman.

Sabah juga menyimpan kenangan manis Azman bertemu jodoh dengan isterinya, Siti Zalihan Amin, berasal dari Muar, Johor. Pertemuan di kaki Gunung Kinabalu itu bagaikan cinta pandang pertama buat Azman dan isterinya. Sekitar tiga bulan selepas pertemuan itu mereka diijab kabulkan.

Walaupun sudah berkahwin dan berkeluarga, Azman mengakui beliau banyak menghabiskan masa di pejabat. Beliau juga jarang sekali mengambil cuti tahun atau cuti sakit.

“Mungkin berat untuk keluarga saya terutamanya lima anak saya tapi saya fikir mereka faham apa yang ayah mereka lakukan. Saya juga bersyukur kerana isteri saya amat memahami kerja saya,” katanya. Kesibukan kerja Azman mungkin antara sebab mengapa tiada seorang pun anaknya mengikut jejaknya menjadi wartawan.