Jejambat baru, dirasmikan

Jejambat baru, dirasmikan

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mei – Sebuah lagi jejambat baru, di persimpangan Lebuhraya Muara-Tutong dan Jalan Utama Berakas yang menelan belanja sebanyak $43.3 juta dirasmikan hari ini oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan jejambat tersebut, Yang Berhormat Pehin berkata, ia merupakan salah satu projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara ke-10 yang bertujuan meningkatkan mutu keselamatan di lebuh raya berkenaan.

Katanya, persimpangan lampu isyarat yang ada sekarang tidak lagi sesuai untuk menampung jumlah kepadatan trafik yang ada sekarang apatah lagi dengan keadaan pertumbuhan lalu lintas yang kian bertambah.

Dengan siapnya projek tersebut, kedua-dua persimpangan lampu isyarat iaitu persimpangan Lebuh Raya Muara-Tutong/Jalan Utama Berakas dan Jalan Pasir Berakas kini ditutup dan digantikan dengan kemudahan jalan susur yang cukup selesa untuk menuju ke semua hala bagi keempat-empat destinasi iaitu Muara, Jerudong, Lambak, Berakas, dan Berakas Kem.

pg01_150508_b

Yang Berhormat Pehin memotong reben semasa merasmikan jejambat di persimpangan Lebuh Raya Muara-Tutong dan Jalan Utama Berakas, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin memotong reben semasa merasmikan jejambat di persimpangan Lebuh Raya Muara-Tutong dan Jalan Utama Berakas, kelmarin.

Projek tersebut juga melibatkan pembinaan sebuah jambatan berupa “Box Grider” yang terpanjang di negara ini iaitu kira-kira 140 meter dengan kelebaran kira-kira 32 meter untuk menyediakan laluan empat lorong dua hala berserta bahu jalan yang selesa.

Ini adalah berasaskan kepada perancangan jangka panjang pihak kementerian berkenaan melalui jabatan kerja raya, untuk meningkatkan mutu keselamatan, keselesaan para pengguna jalan raya dan juga untuk membuka peluang perkembangan aktiviti sosio-ekonomi di sepanjang kawasan Lebuh Raya Muara-Tutong.

Yang Berhormat Pehin juga berkata, projek jejambat seterusnya iaitu di kawasan Meragang kini sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada hujung tahun ini, manakala dua jejambat lagi juga sedang dalam pembinaan iaitu di Jalan Babu Raja dan Telanai dan dijangka siap tahun depan. Sementara, projek membesarkan jalan di kawasan Tungku pula dijangka siap pada awal tahun depan.

ARTIKEL YANG SAMA