Jejantas SM Chung Hwa dirasmikan

Jejantas SM Chung Hwa dirasmikan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Sept – Para pelajar Sekolah Menengah Chung Hwa kini dapat berulang-alik ke sekolah tanpa rasa cemas setelah jejantas pejalan kaki untuk mereka menyeberang jalan kini siap dibina.

Jejantas baru yang terletak di hadapan Hotel Radisson dan menelan belanja sekitar $850,000 itu telah dirasmikan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman, pada majlis perasmian yang berlangsung di kawasan letak kereta berhadapan Bangunan Lapau Diraja, hari ini.

Pengerusi Sekolah Menengah Chung Hwa, Awang Ong Tiong Oh ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya berkata, tujuan utama pembinaan jejantas itu adalah untuk memastikan keselamatan pelajar dan orang awam serta mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Saya juga berharap jejantas itu dapat dimanfaatkan oleh masyarakat dengan sebaik mungkin dan semua pihak dapat sama-sama menjaga kemudahan itu supaya tidak dirosakkan atau diconteng,” kata beliau.

Awang Ong menjelaskan, setelah bertahun-tahun beliau dan Pengarah Urusan Syarikat Perunding Bolton Hennessey Sdn Bhd, Awang Kueh Ngee Hui meran-cang untuk menyediakan kemudahan itu kepada masyarakat dan kini saat yang ditunggu itu telah pun tiba untuk menjadikan impian mereka satu realiti.

Yang Berrhormat Pehin Haji Suyoi diiringi oleh Awang Ong memotong reben perasmian jejantas tersebut.
Yang Berrhormat Pehin Haji Suyoi diiringi oleh Awang Ong memotong reben perasmian jejantas tersebut.
Tetamu kehormat bersama Awang Ong menyaksikan replika jejantas yang baru dibina itu.
Tetamu kehormat bersama Awang Ong menyaksikan replika jejantas yang baru dibina itu.

Beliau juga meluahkan perasaan gembira kerana hasratnya serta keluarga untuk menyumbang kepada masyarakat telah menjadi kenyataan.

Sementara itu, Awang Kueh yang juga menjadi perunding projek berkenaan berkata, projek pembinaan jejantas yang dibiayai sepenuhnya oleh Awang Ong dari Syarikat Low San Hardware Sdn Bhd itu mula dirancang sejak 2007 dengan kos asal mencecah $750,000 dan tempoh pembinaan yang dijangka mengambil masa 12 bulan.

Bagaimanapun, ekoran halangan yang tidak dapat dielakkan, projek yang dimulakan pada 2013 itu telah siap tiga bulan lebih lewat daripada tarikh asal dan menelan kos tambahan lebih $100,000 ekoran kerja-kerja pemindahan kabel bawah tanah dan saluran paip air yang rumit.

Jejantas berukuran 43 meter itu akhirnya siap pada 4 September 2015 dan telah digunakan secara tidak rasmi oleh para pelajar sekolah berkenaan.

Menurut Awang Kueh juga, perasmian jejantas itu sekali gus merungkaikan desas-desus rungutan ibu bapa, yang menyekolahkan anak mereka di sekolah berkenaan, dalam media sosial yang kononnya pembinaan jejantas itu berkait rapat dengan tindakan pihak pentadbiran sekolah menaikkan yuran sekolah para pelajar.

Acara dimulakan dengan bacaan doa selamat diikuti dengan pemotongan reben oleh Menteri Pembangunan sebagai tanda perasmian, sebelum beliau diiringi oleh Awang Ong serta ahli Lembaga Pengarah Sekolah Menengah Chung Hwa untuk meninjau secara dekat jejantas itu dan menyaksikan pameran yang diadakan di tengah-tengah jejantas.

ARTIKEL YANG SAMA