Jelajah 11 hari Trans Borneo, promosi Brunei

Jelajah 11 hari Trans Borneo, promosi Brunei

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 April – Dalam usaha mempromosikan Negara Brunei Darussalam ke seluruh Pulau Borneo, Silver Hawk Chapter Brunei buat kali pertamanya mengadakan jelajah Trans Borneo 2016 Adventure Ride yang mengambil selama masa 11 hari, bermula hari ini hingga 27 April nanti.

Presiden Silver Hawk MC Head Chapter Brunei, Chua Pheng Chai berkata, pengembaraan meliputi jarak keseluruhan 5,200 kilometer itu bermula dari Negara Brunei Darussalam dan merentasi Tawau, Nunukan (Kalimantan Utara), Sungai Ular, Semanggaris, Malinau, Tanjong Selor, Bontang, Samarinda, Balikpapan, Banjarmasin, Pangkalan Bun, Pontianak, Singkawang, Entikong (Indonesia/Imigresen Malaysia/Pos Kastam) dan Sibu sebelum kembali semula ke Brunei.

Selain peserta dari Brunei Darussalam, pengembara Trans Borneo 2016 seramai 18 orang itu juga disertai peserta dari Itali, India dan Malaysia yang akan menggunakan motosikal dan juga kenderaan pacuan empat roda.

Menurut Chua lagi, perkara paling mencabar ialah menuju ke Kalimantan di mana kebanyakan jalan raya dalam keadaan ‘off-road’ dan kasar terutamanya di Jalan Berau dan Jalan Bonting di Kalimantan.

Antara peserta yang mengikuti Trans Borneo 2016 Adventure Ride bergambar ramai sebelum mereka berlepas meninggalkan Brunei.
Antara peserta yang mengikuti Trans Borneo 2016 Adventure Ride bergambar ramai sebelum mereka berlepas meninggalkan Brunei.
Chua Pheng Chai ketika ditemui Media Permata baru-baru ini.
Chua Pheng Chai ketika ditemui Media Permata baru-baru ini.

“Tujuan acara ini ialah bagi mempromosikan negara kita ke seluruh Pulau Borneo. Selain itu, ia juga dianjurkan bagi mengumpulkan dan mengeratkan persahabatan di antara para penunggang motosikal yang berminat untuk mengembara,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, selepas kembara ini selesai, pada 28 April mereka akan meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu, Sabah bagi menghadiri Pesta Borneo Island International Big Biker 2016 yang akan berlangsung hingga 1 Mei.

“Silver Hawk Brunei juga merancang untuk mengadakan pengembaraan ke Chiang Mai, Thailand dan New Zealand dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada aktiviti kami.”

Silver Hawk Brunei ditubuhkan tiga tahun lepas berasal daripada Silver Hawk yang ditubuhkan pada 2005 di Indonesia dengan jumlah keseluruhan ahli seramai 400 orang. Namun keahlian di Brunei cuma lima orang sahaja.

ARTIKEL YANG SAMA