Jelajah Borneo untuk naikkan imej penjara

Jelajah Borneo untuk naikkan imej penjara

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 11 Mac – Dengan hasratnya untuk menaikkan imej Jabatan Penjara Malaysia, khususnya Institusi Penjara Taiping, Koperal Zairul Azmin dari Penjara Taiping Perak, telah melakukan jelajah mencabar mengunjungi satu penjara ke penjara yang lain di Sarawak dan Brunei dengan menggunakan basikal lipat.

Koperal Zairul Azmin, yang tiba di Kuala Belait petang ini, semasa ditemui Media Permata memberitahu, beliau telah memulakan jelajah berbasikal solo itu sejak 1 Mac lalu, dan hari ini merupakan hari kesebelas beliau menunggang basikalnya bermula dari Kuching awal bulan lalu.

Menurutnya, beliau telah mengunjungi penjara pertama di Puncak Borneo, Kuching kemudian ke Penjara di Serian, Penjara Seri Aman, Betung, Sarikei, Bintulu, Bukit Niah, Sibu melalui Lebuhraya Trans Borneo dan akan mengakhiri jelajah berbasikalnya di Kudat Sabah.

Beliau yang juga berhasrat untuk saling mengenali pegawai-pegawai penjara yang dikunjunginya, serta untuk mengeratkan silaturahim, akan menyelesaikan jelajah itu selama 24 hari.

Koperal Zairul Azmin singgah di Kuala Belait dan akan meneruskan jelajah berbasikalnya ke Tutong dan Jerudong hari ini.
Koperal Zairul Azmin singgah di Kuala Belait dan akan meneruskan jelajah berbasikalnya ke Tutong dan Jerudong hari ini.

Hari ini beliau telah singgah bermalam di Kuala Belait, dan akan memulakan lagi jelajahnya esok untuk mengunjungi Penjara di Tutong kemudian Penjara di Jerudong Daerah Brunei Muara, sebelum meneruskan jelajahnya ke Sabah.

Jelajah berbasikal rentas Borneo dari Sarawak, Brunei dan Sabah, adalah pengalamannya yang pertama dan beliau juga merupakan pegawai penjara yang pertama melakukan jelajah berbasikal secara solo. Tahun lepas beliau telah melakukan jelajah berbasikal solo menggunakan basikal lipat selama sebulan di Semananjung Malaysia.

ARTIKEL YANG SAMA