Jelajah daerah DST

Jelajah daerah DST

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 2 Okt – DST meneruskan lagi acara jelajah daerah, bersempena sambutan ulang tahun ke-20 syarikat itu, ke Daerah Belait yang berlangsung selama dua hari, bermula hari ini, di DST cawangan Kuala Belait Kampung Pandan.

Acara tersebut merupakan sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan setia sejak penubuhan DST pada tahun 1995, selain turut mempromosikan acara terbesarnya iaitu Karnival DST yang akan diadakan pada bulan Disember nanti.

Sepanjang jelajah di Daerah Belait, DST mempamerkan produk-produk serta perkhidmatan mereka bagi pelanggan yang sedia ada atau yang baru, antaranya seperti DST MBB, EASI Loyalty dan Pelan Pakej Kontrak Pembelian Telefon Pintar.

Selain itu, cabutan bertuah juga akan diadakan di mana pelanggan berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik, di samping menerima cenderahati dan peluang menyertai berbagai-bagai permainan menyeronokkan.

Tidak ketinggalan pelbagai promosi yang sangat menarik seperti tawaran telefon pintar terkini, berbagai-bagai hadiah bagi pembelian atau pendaftaran terpilih, kuiz-kuiz yang menyediakan hadiah menarik dan sebagainya.

Suasana kunjungan orang ramai ke Jelajah Daerah DST yang diadakan di Kuala Belait hari ini.
Suasana kunjungan orang ramai ke Jelajah Daerah DST yang diadakan di Kuala Belait hari ini.

Sementara itu, bagi pelanggan yang membuat transaksi bernilai $60 ke atas bagi produk dan perkhidmatan juga menerima hadiah-hadiah menarik, begitu juga bagi urusan transaksi Kristal Astro bernilai $40 ke atas.

Klinik DST juga diadakan di mana pelanggan boleh membuat sebarang pertanyaan mengenai produk dan perkhidmatan seterusnya mendapat penjelasan mengenainya.

Jelajah Daerah DST akan diteruskan lagi ke Daerah Tutong pada 31 Oktober, Daerah Temburong pada 3 November dan Daerah Brunei dan Muara pada acara kemuncak Karnival DST, Disember nanti.

DST yang telah ditubuhkan pada tahun 1995, telah menjadi pembekal perkhidmatan mudah alih, perkhidmatan jalur lebar, TV berbayar dan perkhidmatan radio kepada pelanggannya di negara ini.

Selain itu, DST juga komited dalam program tanggungjawab sosial korporat dinamakan Future Series, yang merupakan inisiatif untuk mewujudkan pelantar dalam memupuk syarikat-syarikat ICT Brunei bagi menjana peluang perniagaan yang bertujuan memacu inovasi dan kreativiti di Brunei.

Sementara itu, dalam program kemasyarakatan pula, DST menamakannya sebagai ‘Ihsan Kasih’ yang bertujuan untuk mengumpulkan warga syarikat dalam kerja-kerja sukarela dan melakukan perkara-perkara yang berkebajikan, bagi membantu masyarakat yang kurang bernasib baik, anak-anak yatim dan masyarakat berkeperluan khas.

ARTIKEL YANG SAMA