Jelajah S’wak bermula 16 Mac

Jelajah S’wak bermula 16 Mac

KUCHING, 15 Jan – Kejohanan berbasikal Tour of Sarawak (TOS 2016) melibatkan sembilan laluan yang dijadualkan berlangsung pada 16 hingga 20 Mac hadapan dijangka mendapat sambutan kira-kira sejuta penonton.

Perlumbaan sejauh 787.5 kilometer yang julung kali diadakan itu bakal bermula dari Miri menuju Bintulu, Sibu, Sarikei, Betong, Sri Aman, Serian, Sematan sebelum berakhir di Kuching.

Pengarah Side Event TOS 2016, Ahmad Fauzi Yusof berkata, perlumbaan bertemakan Race Close To Nature itu bakal disertai 20 pasukan dari dalam dan luar negara bagi merebut gelaran juara keseluruhan, raja bukit, raja pecut serta juara pelumba Malaysia.

“Kami menjangkakan sambutan meriah daripada penduduk tempatan termasuk pelancong asing kerana pelbagai program sampingan akan diselitkan sepanjang perlumbaan.

“Antara program (sampingan) yang diadakan adalah pameran agensi kerajaan, pertandingan busking, TOS 2016 Mini Race, Permata Kid’s Fun Race dan banyak lagi,” katanya menerusi satu kenyataan di Kuching semalam.

Ahmad Fauzi menambah, penganjuran TOS 2016 juga dijangka memberi impak positif menambah pendapatan peniaga tempatan memandangkan setiap venue terlibat bakal menjadi tumpuan pelancong serta penduduk sekitar. Jelasnya, sokongan padu yang diterima daripada pihak kerajaan negeri serta sektor korporat juga bakal merealisasikan kejohanan yang mendapat pengiktirafan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu.

TOS 2016 juga diiktiraf sebagai jelajah berbasikal kelas 2.2 hors yang menawarkan hadiah keseluruhan RM200,000 kepada para pemenang.