Jelajah tudung Aidijuma dapat sambutan

Jelajah tudung Aidijuma dapat sambutan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 17 Ogos – Orang ramai terutama kaum wanita tertumpu di kawasan lapang bangunan Pusat Boling di sini hari ini, masing-masing tidak mahu melepaskan peluang untuk mendapatkan tudung jenama Aidijuma melalui jualan van bergerak dinamakan Scarf Machine Borneo.

Jualan bergerak yang dimulakan di kawasan letak kereta Mall Gadong pada 10 Ogos lalu itu telah menarik sambutan yang menggalakkan dan mendapat tempahan daripada para penggemarnya di Kuala Belait, Seria serta Tutong.

Pengurus Cawangan, Colours Group International Sdn Bhd, Dayang Wardina Nisrinah binti Haji Mohd Yassin, semasa ditemui Media Permata, memberitahu perniagaan tudung Aidijuma tersebut merupakan francais bersama Aidijuma Bawal Scarf dari Malaysia.

Katanya lagi, pengasas tudung Aidijuma, Datin Nurjuma Habib Mohamad selaku Ketua Eksekutif Aidijuma Bawal Scarf, mendapat ilham jualan bergerak tersebut daripada perniagaan jualan makanan bergerak yang juga popular di Malaysia, dan daripada sana tercetus idea untuk menjual tudung yang menjadi kegemaran orang ramai secara bergerak, selain memudahkan orang ramai terutama sekali para peminat produk tudung mereka.

Orang ramai tertumpu pada van bergerak, Scarf Machine Borneo untuk mendapatkan koleksi tudung kegemaran mereka.
Orang ramai tertumpu pada van bergerak, Scarf Machine Borneo untuk mendapatkan koleksi tudung kegemaran mereka.
Dayang Wardina Nisrinah turut menunjukkan pelanggannya antara cara-cara memakai tudung empat segi Aidijuma.
Dayang Wardina Nisrinah turut menunjukkan pelanggannya antara cara-cara memakai tudung empat segi Aidijuma.

Kain Aidijuma diperbuat daripada material kapas berbentuk empat segi dan selendang panjang atau lebih dikenali sebagai shawl, menjadi kegemaran ramai pada masa ini kerana kualiti kain yang tidak panas, berbidang besar dan harganya yang berpatutan, serta mempunyai koleksi warna yang pelbagai serta boleh digayakan mengikut fesyen semasa.

Scarf Machine Borneo juga akan meneruskan misinya bukan saja di negara ini, tetapi juga akan menjelajah sehingga ke Sabah dan Sarawak.

Esok, van tersebut akan berada di kawasan Dewan Kemasyarakatan Tutong, setelah berada di kawasan Tudong Saji, Kuala Belait kelmarin yang beroperasi jam 10 pagi hingga 7 malam dan bergantung atas permintaan pelanggan.

Beberapa pengunjung yang sempat ditemui, menyatakan, mereka sangat gembira dengan adanya kemudahan jualan seperti ini kerana mereka tidak perlu bersusah payah pergi ke ibu negara untuk mendapatkan tudung pilihan itu, dan berharap jelajah Scarf Machine Borneo akan kerap datang ke Kuala Belait dan Seria.

ARTIKEL YANG SAMA