Jemaah berhimpun di Arafah

Jemaah berhimpun di Arafah

ARAFAH, Arab Saudi, 23 Sept (AFP) – Sekitar dua juta jemaah Islam berpakaian putih ihram berhimpun di Padang Arafah tempat kemuncak haji dan junjungan nabi kita Nabi Muhammad SAW dipercayai menyampaikan khutbah terakhir kepada umat Islam.

Ramai jemaah dari seluruh dunia berasak-asak menuju ke lereng Bukit Arafah tempat mereka melepaskan lelah selepas perjalanan yang jauh dan menunaikan solat meskipun di bawah terik panas matahari.

Membawa payung berwarna-warni, mereka berjalan bermula subuh dalam rombongan yang ramai ke arah bukit berbatu yang licin yang juga dikenali Jabal ar-Rahmah, di luar tanah haram iaitu kira-kira 18 kilometer dari kota Mekah.

Di sini Nabi Muhammad SAW dipercayai menyampaikan khutbah terakhirnya 14 abad yang lalu selepas mengetuai pengikutnya menunaikan haji.

Untuk mengatur aliran perjalanan jemaah berjalan lancar, pasukan keselamatan membentuk rangkaian manusia di sepanjang jalan menuju ke Padang Arafah.

Jemaah haji yang menaiki Bukit Arafah di Padang Arafah semasa menunaikan haji di luar bandar suci Mekah pada 23 September. – Reuters
Jemaah haji yang menaiki Bukit Arafah di Padang Arafah semasa menunaikan haji di luar bandar suci Mekah pada 23 September. – Reuters

Di sepanjang jalan, sukarelawan menyerahkan kotak-kotak makanan dan air sejuk botol.

“Kami merasa dirahmati tuhan, dan suatu rasa yang tidak dapat dijelaskan, apabila tiba di puncak bukit,” kata Ruhaima Emma, jemaah Filipina berusia 26 tahun, yang mengatakan dia telah ‘mendoakan semua orang agar mendapat kehidupan yang baik’.

Bagi Akram Ghannam, 45, dari Syria yang dilanda perang, berada di Arafah adalah “satu rasa yang tidak dapat digambarkan. Saya berdoa kepada Tuhan bagi kemenangan semua yang tertindas.”

Kebanyakannya tiba di Arafah menggunakan bas sementara yang lain berjalan dari tanah suci Mekah kira-kira 15km jauhnya.

Jemaah lain yang tiba dari berhampiran Mina menggunakan Kereta api Mashair yang menghubungkan tapak suci Arafah, Muzdalifah dan Mina, sebuah khemah tempat para jemaah menghabiskan malam Selasa.

Selepas hampir Maghrib hari ini mereka akan bergerak ke Muzdalifah. Mereka akan mengumpulkan batu-batu kecil bagi melontar jamrah pada Khamis, yang juga bersamaan dengan jatuhnya Hari Raya Aidiladha yang disambut bersama lebih 1.5 bilion orang Islam di seluruh dunia.

ARTIKEL YANG SAMA