Jemaah Haji diminta jujur jika berpenyakit

Jemaah Haji diminta jujur jika berpenyakit

KUANTAN, 24 Julai – Bakal jemaah haji diminta tidak menyembunyikan penyakit mereka daripada pengetahuan Tabung Haji (TH) sebelum berlepas dan semasa berada di Tanah Suci.

Anggota Lembaga Pengarah TH Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata soal kesihatan tidak boleh dipandang ringan kerana pelaksanaan rukun Islam kelima itu memerlukan kekuatan fizikal, mental dan rohani.

Malah 22,320 bakal jemaah haji dari Malaysia tahun ini dijangka berhadapan dengan cuaca panas sehingga mencecah 50 darjah celcius yang boleh mengakibatkan serangan strok haba, katanya.

“Apa jua penyakit walaupun demam, sila jujur dengan kami.

Ada jemaah yang suka tangguh untuk beritahu (penyakit) kerana takut peluang mereka beribadat sebaik-baiknya di Tanah Suci terjejas jika diketahui TH. “Sedangkan kita telah melakukan semua persiapan untuk menjaga kebajikan mereka termasuk menyediakan lebih 200 doktor dan pegawai perubatan di sana dengan setiap maktab dilengkapi klinik,” katanya.

Abdul Shukor berkata demikian semasa ditemui pada Kursus Perdana Haji peringkat negeri di Masjid Sultan Ahmad Shah 1 di sini malam tadi, yang disertai 1,200 jemaah haji dari Pahang. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA