Jemaah haji tiba di Mina

Jemaah haji tiba di Mina

MINA, Arab Saudi, 12 Sept – Para jemaah haji tiba di Mina hari ini bagi melakukan ibadah melontar jamrah, ibadah utama terakhir haji dan tempat berlakunya kejadian rempuhan tahun lalu.

Beberapa langkah keselamatan telah diperkenalkan untuk menghalang dari berulangnya tragedi tahun lalu, yang telah mengorbankan kira-kira 2,300 orang ketika bergerak menuju Jambatan Jamarah untuk melaksanakan ibadah melontar.

Jambatan bertingkat itu mampu menampung bilangan besar para jemaah – lebih 1.8 juta tahun ini. Para jemaah haji melontar batu yang telah dikutip di Muzdalifah pada petang semalam.

Raja Arab Saudi, Salman tiba di Mina semalam untuk memastikan jemaah dapat ‘menunaikan ibadah mereka dengan mudah, selesa dan selamat,” lapor agensi rasmi, Agensi Media Saudi. Baginda diberikan penerangan tentang persiapan bagi pergerakan para jemaah antara Muzdalifah dan Mina.

Jemaah haji tiba di Mina, berhampiran bandar suci Mekah, Arab Saudi, kelmarin bagi menunaikan ibadah melontar. – AP
Jemaah haji tiba di Mina, berhampiran bandar suci Mekah, Arab Saudi, kelmarin bagi menunaikan ibadah melontar. – AP

Ibadah melontar dilaksanakan tiga kali dalam tempoh beberapa hari akan datang. Yang pertama dilakukan pada awal Aidil Adha, Hari Raya Korban yang disambut oleh lebih 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia.

Selepas ibadah melontar, kambing biri-biri akan disembelih dan dagingnya akan diagih-agihkan kepada orang Islam yang memerlukan, melambangkan kesediaan Nabi Ibrahim A.S mengorbankan puteranya, Ismail atas perintah Tuhan, yang menukarnya dengan anak kambing biri-biri di saat-saat akhir. Ibadah melontar dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S bagi melawan godaan.

Kejadian rempuhan pada tahun lalu adalah bencana paling teruk dalam sejarah musim haji. Arab Saudi pada awalnya mencatatkan kematian sebanyak 769 orang, tetapi bilangan yang dikumpul dari para pegawai menunjukkan peningkatan kepada hampir tiga kali lebih tinggi. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA